AM

Polis Masih Beri Kelonggaran Parkir Kenderaan Di Luar Pekarangan HRPB

04/10/2024 06:30 PM

IPOH, 4 Okt (Bernama) -- Polis masih tidak mengenakan saman kepada orang ramai yang meletakkan kenderaan di luar pekarangan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) iaitu di Jalan Raja Ashman Shah di sini. 

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata kelonggaran sejak April 2023 itu hasil persetujuan bersama dengan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri A. Sivanesan sebelum ini.

“Isu ini diangkat dan diberi perhatian berikutan kekurangan parkir di HRPB dan pembinaan Klinik Kesihatan Greentown yang baharu juga menyebabkan kawasan letak kenderaan semakin terhad.

“Tempat letak kenderaan di Velodrom Rakyat yang sebelum ini dicadangkan sebagai kawasan parkir alternatif juga tidak sesuai memandangkan ia agak jauh dari HRPB,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azizi berkata kemudahan parkir baharu berdekatan HRPB juga perlu dibina bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di jalan berkenaan.

Sivanesan pada April tahun lepas memaklumkan telah mengadakan perjumpaan bersama Ketua Polis Perak ketika itu Datuk Mohd Yusri Hassan Basri bagi membincangkan mengenai isu parkir di HRPB.

Polis kemudian memberi kelonggaran dengan tidak mengenakan saman kepada orang ramai yang meletakkan kenderaan di luar pekarangan HRPB, namun tertakluk kepada beberapa syarat iaitu tidak menghalang lalu lintas dan tidak diletakkan secara berlapis.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan