AM

Isu Libatkan Rakyat Palestin Di Pusat Transit Selesai - Duta

04/10/2024 09:12 PM

Oleh Voon Miaw Ping

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Kekecohan yang melibatkan rakyat Palestin yang ditempatkan di Wisma Transit, Kuala Lumpur dengan anggota keselamatan yang tular di media sosial baru-baru ini telah diselesaikan, kata Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali.

Sambil melahirkan kekesalan terhadap insiden yang melibatkan dua wanita Palestin itu, Walid berkata ia tidak mencerminkan tingkah laku rakyat Palestin secara umum.

Menurut beliau, kakitangan kedutaan telah melawat pusat berkenaan dan bertemu dengan pegawai keselamatan serta rakyat Palestin yang terlibat untuk menyelesaikan perkara itu.

“Saya mengecam apa yang berlaku, dan ia tidak sepatutnya berlaku lagi,” katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Wisma Transit adalah kemudahan di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia yang digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk menyediakan penginapan.

Menurut Walid, individu terlibat bertindak secara emosi kerana kecewa tidak dibenarkan keluar dari pusat itu atas sebab keselamatan.

Walid berkata beliau telah bertemu pegawai Kementerian Pertahanan pagi Jumaat untuk membincangkan keadaan itu.

“Isu ini telah dibincangkan dan diselesaikan. Apa yang berlaku adalah salah, dan kami tidak mahu memanjangkannya.

Bagi pihak Palestin, saya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

Duta Palestin turut mendedahkan bahawa beberapa rakyat Palestin telah menyuarakan hasrat untuk meninggalkan Malaysia. Bagaimanapun, mereka perlu menandatangani surat kebenaran bagi tujuan itu.

“Mereka perlu menandatangani surat kebenaran untuk menunjukkan bahawa ia adalah atas permintaan mereka sendiri untuk pulang. Kementerian Pertahanan dan kedutaan akan mengatur penghantaran mereka pulang ke negara asal.

Perkara ini telah dibincangkan dan dipersetujui bersama Kementerian Pertahanan semasa pertemuan pagi tadi,” katanya, sambil menambah bahawa kedutaan telah menerima 10 permintaan lisan daripada rakyat Palestin yang ingin pulang ke tanah air.

Di tengah-tengah keganasan Israel di Gaza, Malaysia berjaya membawa 41 rakyat Palestin yang cedera untuk rawatan di Malaysia, bersama 86 saudara mereka dari Kaherah, pada 16 Ogos lepas.

Pesakit-pesakit berkenaan sedang menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HAT) di Kuala Lumpur, manakala saudara mereka yang tidak cedera ditempatkan di lokasi transit yang disediakan oleh Kementerian Pertahanan.

Duta berkenaan sekali lagi menyatakan penghargaan beliau kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan Malaysia, serta rakyat Malaysia atas sokongan kuat terhadap perjuangan Palestin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan