AM

Pakar Onkologi Di Malaysia Capai 400 Orang Menjelang 2040 - Dzulkefly

05/10/2024 01:04 PM

PUTRAJAYA, 5 Okt (Bernama) -- Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata bilangan pakar onkologi di Malaysia dijangka meningkat kepada 400 orang menjelang 2040 berbanding 175 orang ketika ini.

Beliau berkata sasaran itu mampu dicapai dengan penyertaan Malaysia dalam Fellowship of the Royal College of Radiologists (FRCR) dalam klinikal onkologi.

"Institut Kanser Negara (IKN) akan terus berperanan sebagai pusat kecemerlangan dan penyertaan dalam program FRCR. Inisiatif ini selaras dengan usaha Kementerian Kesihatan (KKM) untuk meningkatkan jumlah pakar onkologi di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Karnival Pink Oktober IKN 2024 oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah IKN Mohd Anis Haron@ Harun.

Dzulkefly berkata kanser kolorektal atau usus besar merupakan pembunuh utama lelaki manakala kanser payudara adalah penyebab utama kematian wanita.

Beliau berkata kes kanser yang dikesan pada tahap tiga dan tahap empat meningkat kepada 65.1 peratus pada 2017-2021, berbanding 63.7 pada 2012-2016.

"Trend in amat membimbangkan kerana kadar kelangsungan hidup jauh lebih rendah jika kanser dikesan lewat. Kematian dapat dielakkan sekiranya ada pencegahan dengan melakukan saringan awal," katanya.

Dzulkefly berkata dengan adanya dua fasiliti pusat kanser di Kedah dan Sarawak akan meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat, mengurangkan keperluan untuk pesakit pergi ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan dan terapi.

Terdahulu, karnival itu mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records dengan pembentukan formasi reben merah jambu terbesar membabitkan 2,050 peserta, sebagai simbolik komitmen bersama dalam perjuangan melawan kanser.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan