BERITA TERGEMPAR | PM Anwar Ibrahim tiba di Great Hall of People bagi kunjungan hormat ke atas Presiden China Xi Jinping | |
KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Bekas penyampai radio Maskiran Jakiran atau lebih dikenali sebagai Kieran, hari ini menerima sumbangan daripada Tabung Kasih@HAWANA bagi membantu meringankan beban beliau, yang sedang berjuang melawan kanser prostat.
Kieran, 49, berhadapan dengan ujian besar selepas disahkan menghidap kanser yang telah merebak ke bahagian perut dan paru-paru.
Beliau yang sedang menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) menerima sumbangan yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin.
Selain wang tunai, Kieran turut menerima sumbangan barangan keperluan harian daripada Syarikat Pakaian Hari-Hari dan Aeon Big.
Kieran sebelum ini pernah mencipta nama sebagai penyampai radio di Era FM dari 1999 hingga 2008, diikuti dengan Hot FM selama enam tahun dari 2008 sebelum berhijrah ke Sinar FM pada 2015 dan IM4UFM pada 2017.
Berkongsi tentang keadaan kesihatannya, bapa kepada tiga cahaya mata itu memaklumkan beliau kini sedang menjalani sesi kedua rawatan kemoterapi.
“Saya ada empat sesi kemoterapi, namun setelah menjalani kali kedua, ia menunjukkan tanda-tanda positif,” katanya yang ditemani isteri Nur Shafiyaziemah Shamudi.
Kieran berkata disebabkan kesibukan kerja dan kekangan masa, beliau tidak sempat menjalani pemeriksaan lebih awal dan hanya mengetahui tentang penyakitnya bulan lepas.
“Terima kasih atas bantuan yang telah diberikan, dengan keadaan sekarang, saya tidak lagi bekerja, sedikit sebanyak bantuan ini mampu menampung keperluan saya,” katanya yang turut menzahirkan raya syukur kerana masih diingati sebagai seorang penyampai radio walaupun telah lama tidak bertugas.
Sementara itu Nur-ul Afida menjelaskan sumbangan itu disampaikan bagi pihak Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang mahukan supaya bantuan disampaikan segera kepada penyampai radio berkenaan.
“Kami tidak mahu melewatkan sumbangan ini kerana kami memahami kos rawatan dan sebagainya. Oleh itu, setelah dimaklumkan oleh YB (Fahmi) dan pejabat Menteri, kami segera datang untuk menyampaikan sumbangan ini kepada saudara Kieran,” katanya.
Kieran adalah antara 186 rakan media yang menerima manfaat daripada Tabung Kasih@HAWANA sejak inisiatif itu diperkenalkan pada April tahun lepas. Sempena sambutan Deepavali lepas 16 rakan media yang menyambut perayaan tersebut dan sedang mengalami kesempitan hidup turut menerima sumbangan dari tabung berkenaan.
Tabung Kasih@HAWANA diwujudkan bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 untuk menyantuni pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang menghadapi kesukaran.
Ia merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan dilaksanakan menerusi Bernama, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk membantu komuniti media yang memerlukan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial