BERITA TERGEMPAR   PM Anwar Ibrahim tiba di Great Hall of People bagi kunjungan hormat ke atas Presiden China Xi Jinping | 
 EKONOMI

Kerajaan MADANI Pulihkan Keyakinan Pelabur Melalui Usaha Basmi Rasuah - PM Anwar

05/10/2024 12:48 PM

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Komitmen kerajaan MADANI untuk memerangi rasuah yang telah menjadi endemik memulihkan keyakinan pelabur domestik dan asing dengan ketara, sekali gus membawa kepada peningkatan pelaburan baharu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kebimbangan utama beliau dalam tempoh awal memegang jawatan tersebut ialah memulihkan reputasi negara, terutamanya berikutan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Dalam tempoh awal, semuanya mengenai perkara itu. Bagaimana untuk menangani isu? Bagaimana pula dengan tadbir urus? Bagaimana dengan apa yang mereka anggap rasuah yang telah menjadi endemik, berdasarkan pengalaman 1MDB dan pelbagai skandal lain? Misalnya, pemimpin terdahulu, apabila menjadi Menteri Kewangan atau Perdana Menteri, menjadi bilionair.

“Ini perlu dihentikan,” kata beliau kepada CNBC dalam satu temu bual.

Anwar berkata pelabur domestik dan asing mengiktiraf komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah, walaupun terdapat pengkritik yang menganggapnya terlalu berlebihan.

“Tanpa kepercayaan dan keyakinan, orang tidak akan melabur dalam jumlah yang besar. Ini melainkan mereka mempunyai pengaturan rasuah dengan anda, mereka akan meneruskannya.

“Bagaimanapun, ini perlu dihentikan. Amalan itu telah dihentikan walaupun kami masih meneruskan misi ini (kerana) perjuangan menentang rasuah perlu dilaksanakan sepenuhnya,” kata beliau.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menekankan kepentingan menarik pelaburan berimpak tinggi, terutamanya dalam kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor.

Beliau mengakui Malaysia telah mencatatkan peningkatan pelaburan dalam pusat data disebabkan bekalan tenaga dan air yang mudah diakses tetapi menekankan keperluan untuk beralih tumpuan kepada teknologi yang lebih maju untuk meningkatkan status ekonomi negara.

“Nvidia, misalnya, menawarkan program yang maju untuk kecerdasan buatan, akan membolehkan kami mencapai tahap yang lebih tinggi,” kata beliau.

Anwar turut menekankan keperluan kepada merapatkan jurang kemahiran untuk menarik industri bernilai tinggi, dengan kerajaan menyasarkan untuk melahirkan 60,000 jurutera dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Universiti, kolej, politeknik serta institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) perlu bersedia dan berubah dengan mendapatkan institusi pendidikan formal ini untuk bekerjasama dengan sektor swasta,” katanya, merujuk kepada syarikat seperti Infineon yang melatih jurutera untuk mencapai keperluan khusus mereka.

Perdana Menteri turut membayangkan Malaysia mungkin memerlukan pendekatan yang lebih fleksibel, berpotensi untuk mengambil jurutera dari negara jiran untuk merapatkan jurang kemahiran.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan