AM

Lebih 500 Jemaah Sertai Majlis Bacaan Yasin Perdana Anjuran MTA

08/11/2024 01:32 AM

PUTRAJAYA, 7 Nov (Bernama) -- Lebih 500 jemaah Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) di sini hari ini menyertai Majlis Bacaan Yasin Perdana anjuran Persatuan Takaful Malaysia (MTA).

Majlis dimulakan dengan tazkirah ringkas, diikuti solat maghrib berjemaah, bacaan surah Yasin dan diakhiri dengan solat isyak berjemaah.

Ketua Pegawai Eksekutif MTA Mohd Radzuan Mohamed berkata Majlis Bacaan Yasin itu dianjurkan sempena menyambut ulang tahun ke-40 industri takaful di Malaysia.

"Objektif majlis ini untuk mendoakan kejayaan dan kemakmuran industri takaful, memohon keberkatan bagi kesejahteraan rakyat Malaysia, serta mengukuhkan hubungan komuniti melalui ibadah bersama," katanya dalam ucapan pada majlis itu.

Beliau berkata selain MTMZA, program bacaan Yasin itu turut melibatkan 30 masjid dan surau di seluruh negara, serta disiarkan secara langsung melalui laman Facebook MTA dan MTMZA.

Antara jemaah masjid turut serta dalam bacaan Yasin itu ialah Masjid Al-Khairiyah Taman Seri Gombak, Batu Caves; Masjid Kampung Alor Ara, Pekan; Masjid Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai; dan Masjid Nurul Hikmah, Bukit Padang, Kota Kinabalu.

Pada majlis itu, MTA turut menyampaikan sumbangan kepada Rumah Pengasih Warga Prihatin dan Rumah Bakti Al-Kausar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan