AM

MOTAC Komited Bangunkan Lebih Ramai Komuniti Berkemahiran Dalam Bidang Kraf

05/10/2024 08:28 PM

KANGAR, 5 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Kraftangan Malaysia komited membangunkan lebih ramai komuniti berkemahiran dalam bidang kraf bagi memenuhi keperluan industri serta meningkatkan taraf hidup masyarakat khususnya di kawasan luar bandar.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata program yang memberikan pendedahan dan peningkatan kemahiran kepada komuniti baharu dalam perusahaan kraf dapat membantu mereka menjadikan ia sebagai sumber pendapatan utama atau sampingan.

“Usaha ini secara tidak langsung turut menyumbang kepada hala tuju kerajaan dalam menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup Festival Kraf Utara (FKU) 2024 di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis dekat sini hari ini. 

Perasmian penutup FKU 2024 itu disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Turut berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Shaharuddin turut mencadangkan Kerajaan Negeri Perlis mewujudkan Program “Kampung Angkat Kraf” di Kangar, Arau dan Padang Besar yang boleh diperkasakan dengan sinergi bersama produk pelancongan sedia ada di bawah MOTAC iaitu inap desa.

“Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelancong untuk merasai gaya hidup serta kebudayaan tempatan, tetapi juga dapat memperkukuh sektor pelancongan di Perlis dan melahirkan lebih ramai usahawan kraf daripada kalangan masyarakat desa,” katanya. 

FKU 2024 yang berlangsung selama 10 hari bermula 27 Sept lepas melibatkan penyertaan 61 usahawan kraf dari negeri sebelah utara serta beberapa negeri lain.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan