AM

Kestabilan Sosiopolitik Sabah Bolehkan Agihan Ekonomi Saksama - Tun Juhar

05/10/2024 09:08 PM

KOTA KINABALU, 5 Okt (Bernama) -- Keadaan sosiopolitik Sabah yang stabil akan membolehkan pengagihan ekonomi, pendapatan dan kekayaan negeri dilakukan secara adil dan saksama kepada semua rakyat, kata Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Beliau berkata sumber daya, kekayaan alam semula jadi dan potensi ekonomi dalam masyarakat dapat dibahagi dengan cara memberi peluang sama kepada rakyat sehingga dapat mengurangkan ketidakseimbangan antara golongan dan kaum.

"… ini bagi mencapai kesejahteraan sosial dan ekonomi lebih seimbang sebagai kunci untuk memastikan pertumbuhan inklusif demi memperbaiki taraf hidup rakyat," katanya berucap pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sabah membabitkan 47 penerima di Istana Seri Kinabalu di sini hari ini.

Beliau yakin rakyat tidak akan dibiarkan ketinggalan daripada menikmati segala harapan dan aspirasi kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta seluruh anggota Kabinetnya.

Juhar berkata kesungguhan dan komitmen tinggi dalam membawa pembangunan serta kemajuan Sabah dapat dilihat menerusi pelbagai inisiatif terutama penyediaan kemudahan asas kepada rakyat sejajar dengan usaha kerajaan untuk meneruskan agenda pembangunan negeri.

"Sesungguhnya, usaha yang konsisten dan terkoordinasi kerana hubungan baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan akan memastikan kejayaan dalam mencapai matlamat pembangunan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat," katanya.

Beliau juga mahu semua pihak termasuk sektor swasta, masyarakat dan badan bukan kerajaan di Sabah bekerjasama bagi mencapai pembangunan mampan.

Juhar juga mahu rakyat Sabah terus memelihara sekali gus mempertahankan kedaulatan negara dan pada masa sama, mengingatkan masyarakat supaya jangan sesekali berkompromi dalam hal yang boleh mengganggu gugat keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Beliau turut menggesa seluruh lapisan masyarakat agar sentiasa berwaspada dan bersikap proaktif dalam menyampaikan maklumat kepada pihak berkuasa berkaitan kegiatan meragukan, di samping menjadi “mata dan telinga” kerajaan bagi menangani jenayah termasuk jenayah siber dan penipuan.

Sementara itu, Juhar berkata setiap warganegara wajib memikul tanggungjawab memastikan perpaduan terus kukuh dan menjadi benteng bagi mempertahan kemerdekaan seterusnya memacu kegemilangan demi melonjakkan Sabah dan Malaysia ke paras berpendapatan tinggi.

"Harus diingat bahawa kesepaduan antara kaum dapat merintis jalan ke arah kejayaan yang lebih besar bagi negeri tercinta ini.

"Sebarang tindakan individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan api perkauman, kebencian dan permusuhan hendaklah dihentikan. Kesepaduan antara kaum hendaklah dikekalkan sampai bila-bila," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan