JENAYAH & MAHKAMAH

Pesara Guru Maut Ditikam Anak Lelaki

05/10/2024 11:25 PM

KUALA PILAH, 5 Okt (Bernama) -- Seorang pesara guru maut akibat ditikam anak lelakinya di rumahnya di Kampung Senaling, Kuala Pilah di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Gani berkata pihaknya menerima laporan pada 4.40 petang daripada orang awam menyatakan seorang lelaki berusia 65 tahun meninggal dunia akibat ditikam dengan senjata tajam di dalam sebuah rumah.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati warga emas berkenaan sebelum itu cuba memujuk anak lelakinya yang dipercayai mengalami halusinasi, namun secara tiba-tiba suspek bertindak agresif dan menikam mangsa.

"Semasa kejadian, isteri mangsa turut berada di dalam rumah terbabit. Suspek yang berusia 32 tahun merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya mental.

"Hasil pemeriksaan pada badan mangsa menemukan satu kesan tikaman di bahagian belakang badan dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Amran berkata selepas menikam mangsa, suspek telah melarikan diri dengan memandu sebuah kereta namun kemudian ditemukan terbaring dengan mulut berbuih di tepi jalan Pekan Senaling.

Beliau berkata hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati suspek telah meninggal dunia dipercayai akibat minum bahan peluntur. 

“Senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian ini telah berjaya ditemui di tempat kejadian," katanya.

Mayat dua beranak itu dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban untuk bedah siasat manakala kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan