AM

PM Anwar Tegur Kelompok Elit Taksub Bahasa Inggeris, Fobia Bahasa Kebangsaan

06/10/2024 12:53 PM

IPOH, 6 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur segelintir kelompok elit yang taksub dengan Bahasa Inggeris sehingga meremehkan penggunaan Bahasa Melayu, bahasa kebangsaan negara.

Beliau berkata sikap obsesi dan keghairahan kelompok tersebut yang menganggap kejayaan dan kepintaran hanya boleh dicapai dengan penguasaan Bahasa Inggeris adalah salah.

“Saya tidak mewakili pendapat yang mahu mengurangkan (penguasaan) Bahasa Inggeris, tetapi saya juga tidak mewakili sikap yang mempunyai fobia terhadap bahasa sendiri .

“Saya ingin mengingatkan mereka ini terlalu taksub dengan Bahasa Inggeris. Mereka mungkin dibesarkan di London, tetapi saya ingatkan mereka, hidup mereka di Malaysia, mereka mesti mewakili hasrat dan aspirasi rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Ipoh di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr Hazami Jahari.

Hadir sama Sasterawan Negara Datuk Zurinah Hassan dan Datuk Rahman Shaari.

Anwar berkata pelbagai kaum di negara ini seharusnya melupakan pertelingkahan mengenai bahasa sebaliknya menguatkan iltizam dan mengambil satu pendirian serta komitmen untuk mememperkasakan Bahasa Melayu.

“Apabila ini dilakukan, kita akan lebih mudah memberi penumpuan kepada pemerkasaan Bahasa Inggeris, Cina, Tamil dan lain-lain,” katanya.

Beliau juga berkata pemerkasaan ekonomi sesebuah negara juga perlu seiring dengan pemerkasaan budaya dan tamadun termasuk bahasa, seni dan sastera.

Katanya kerajaan MADANI di bawah pimpinannya akan terus komited dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu tanpa meminggir bahasa-bahasa lain.

“Dikatakan Kerajaan MADANI meminggirkan bahasa (Melayu), tetapi di mana sebenarnya peminggiran itu?. Tumpuan kita berikan kepada DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka) dan pendidikan, ketimbang tahun-tahun sebelumnya, jelas sekarang peruntukan dan ruang lebih diberikan,” katanya.

Sementara itu, pada majlis sama Anwar turut menyampaikan anugerah Ikon Bahasa kepada tiga penerima iaitu penyanyi lagu-lagu rakyat Roslan Madun, pengacara Ahmad Fetri Yahya dan penyanyi etnik kreatif Hazwan Hazif Rosebi.

Selain itu beliau turut menyampaikan pemenang Hadiah Karya Ilimiah kepada dua penerima iaitu Prof Shamsul Bahari Abdul Razak melalui buku Kelulutologi: Merungkai Misteri Kelulut Alam dan Kehidupan Manusia dan Dr Nafishah Mat Rabi melalui karya Rawatan Alternatif Untuk Kanak-Kanak Autistik.

Kesemua penerima menerima wang tunai dan sijil penghargaan.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan