AM

Pengusaha Buktikan Pokok Anggur Sesuai Ditanam Dengan Iklim Malaysia

06/10/2024 01:29 PM

TUMPAT, 6 Okt (Bernama) -- Pengusaha tanaman anggur Wan Yusoff Wan Abdul Rahman berjaya membuktikan tanaman itu boleh hidup dan berbuah lebat di negara beriklim tropika seperti Malaysia, sekali gus menepis tanggapan negatif masyarakat terhadapnya sejak lima tahun lepas.

Wan Yusoff, 40, kini telah menanam lebih 100 pokok anggur yang mampu mengeluarkan hasil seberat 30 kilogram iaitu sekitar 500 hingga 700 gram setangkai di kebun miliknya seluas 0.4 hektar di Kampung Belukar di sini.

“Tanggapan masyarakat yang mendakwa buah anggur yang dihasilkan di kawasan beriklim tropika agak masam adalah tidak benar kerana buah anggur di kebun saya sangat manis dan hampir setanding dengan buah anggur yang dihasilkan di negara luar.

“Saya nekad membuktikan kepada masyarakat bahawa tanaman anggur saya berupaya hidup di iklim panas Malaysia, malah tanaman ini agak subur dan mengeluarkan hasil yang baik sejak 2019,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata lebih 100 pokok anggur ditanam di kebunnya antaranya daripada varieti Dubovsky Pink, Julian, Baikonur, Beauty Karasotkha dan Gozv yang masing-masing berasal dari Ukraine dan Amerika Syarikat yang kini tengah berbuah.

“Ada juga pokok yang sedang berbunga dan berputik, berdasarkan pengalaman saya, dianggarkan sebanyak 47 varieti buah anggur yang senang berbuah dan tahan lasak sesuai ditanam di negara ini.

“Selain itu, saya juga mencuba menanam anggur jenis Tanaki dan Shine Muscat iaitu baka asal dari Jepun yang kini berjaya mengeluarkan buah dan menunggu masa untuk masak ranum,” katanya yang memulakan projek tanaman dengan 60 pokok anggur sebagai percubaan.

Mengulas lanjut, Wan Yusoff berkata melihat potensi tanaman anggur berkenaan, beliau juga berhasrat untuk membuka sebuah pusat tanaman anggur berkonsepkan agropelancongan di sekitar rumahnya dengan menyewakan tanah kepada penduduk kampung.

Menurut beliau, penduduk di sekitar kampung itu mula berminat menanam anggur selepas melihat kejayaannya.

“Saya yakin dalam tempoh setahun lagi pokok anggur di kebun saya semakin membesar, dan apabila orang ramai datang mereka boleh makan dan minum di bawah pokok dengan buah anggur yang berjuntaian di atas kepala.

“Buat masa ini, mana-mana pengunjung yang hadir biasanya mereka akan membeli anggur dan anak pokok yang saya jual bersama baja,” katanya.

Wan Yusoff berkata pokok anggur boleh berbuah sepanjang tahun atau empat kali setahun bergantung kepada kaedah penanaman dan kebijaksanaan pekebun itu sendiri. 

“Caranya sangat mudah iaitu setiap kali anggur dipetik kita perlu memotong dahan pokok kemudian dahan baharu akan tumbuh pucuk bersama bunga baharu, dan dalam tempoh tiga bulan hasilnya boleh dipetik.

“Jika mahukan buah yang manis, kita jangan mendedahkan pokok anggur kepada hujan dan ia perlu ditempatkan di kawasan teduh tetapi ada cahaya matahari,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan