MELAKA, 6 Okt (Bernama) -- Kerjasama dari penduduk setempat termasuk pengayuh beca di sekitar Melaka menjadi antara penyumbang kepada kemenangan pasukan Goldfinger bagi Kategori Media di pertandingan pencarian harta karun Melaka Explorace 2024 yang berlangsung semalam.
Wakil pasukan Goldfinger dari media NSTP Muhamad Hafiy Isyraf berkata mereka tidak menyangka penduduk setempat sangat baik dalam membantu mereka mencari lokasi atau jawapan yang diperlukan sepanjang melaksanakan misi yang bermula di Banda Hilir sebelum meneroka ketiga-tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.
"Apa yang boleh dikatakan, pengalaman meneroka Melaka ini sangat menarik dan sangat berbeza memandangkan negeri ini amat indah.
"Meskipun sudah banyak kali menyertai pertandingan mencari harta karun," katanya yang ditemui pada Majlis Perasmian Penutup dan penyampaian hadiah pertandingan pencarian harta karun Melaka Explorace 2024 anjuran kerajaan negeri Melaka dengan kerjasama Pertubuhan berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang turut dihadiri Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama merangkap Presiden Kelab Kakitangan Bernama (KKB) Arul Rajoo Durar Raj.
Sementara itu, kehadiran pasukan Lipan Bara dari Pahang dan Klang tidak sia-sia apabila mereka berjaya meraih kemenangan utama dalam Kategori Terbuka, sekali gus membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000.
Wakil pasukan Azrul Izuddin Azmi dari Klang berkata hasrat awal penyertaan mereka adalah hanyalah untuk bersantai sambil menikmati dan meneroka keindahan negeri Melaka ketika melakukan tugasan yang diberikan.
"Memang luar jangkaan kerana masa awal-awal, kami masih berbelah hati untuk menyertai tetapi apabila rakan saya, Mohd Ali Harun setuju, kami pun mula rancang strategi.
"Paling utama, terima kasih kepada kerajaan negeri yang menganjurkan program sebegini dan harap ia akan dianjurkan lagi pada tahun hadapan," katanya.
Lebih 300 peserta dengan 70 kenderaan menyertai pertandingan tersebut yang menjelajah tiga daerah di Melaka sambil menyempurakan misi yang diberikan secara berjalan kaki, berkenderaan, menaiki beca dan Melaka River Cruise serta dikehendaki mengambil gambar dan video sepanjang perjalanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial