AM

Road To UNESCO MOTAC: Promosi Budaya Sarapan Tempatan, Kebaya

06/10/2024 05:50 PM

SUBANG JAYA, 6 Okt (Bernama) --  Program Road to UNESCO anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Jabatan Warisan Negara (JWN) menarik lebih 4,500 pengunjung dari seluruh negara sekali gus melepasi sasaran awal.

Ketua Pengarah JWN Mohamad Muda Bahadin berkata program dua hari itu yang menyasarkan kira-kira 2,000 pengunjung, bertujuan mempromosikan budaya sarapan Malaysia dan busana tradisional negara, kebaya, susulan pencalonan bagi Warisan Kebudayaan Tidak Ketara Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) 2023.

“Sarapan Malaysia dan juga kebaya kita akan ada perkhabaran, (dan) pengumumannya pada Disember nanti di Paraguay. Jadi kita harap supaya pencalonan kita dapat kejayaan nanti sebab kebaya kita ini hasil pencalonan kerjasama dengan negara jiran kita seperti Indonesia, Brunei dan Thailand.

“Tujuan kita supaya warisan-warisan negara kita yang telah mendapat pengiktirafan UNESCO dan yang dalam proses untuk mendapatkannya, diketahui umum. Kita nak kongsi warisan dengan semua masyarakat, jika masih ada yang tidak mengenalinya,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan program ‘Road to UNESCO: Meraikan Warisan Kita’ di sini hari ini. 

Mohamad, yang mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata pengiktirafan oleh UNESCO adalah penting bagi memperkukuh usaha memelihara warisan negara sambil mempromosikan pelancongan selain menambah tarian singa dan chingay akan dicalonkan tahun depan. 

Program berkenaan berjaya mengumpulkan pelbagai golongan masyarakat, menyatukan warga tempatan dan pelancong menerusi aktiviti dan pertunjukan kebudayaan.

Penduduk tempatan Christine Ting, 66, yang hadir ke acara itu dengan berkebaya kelabu bersama rakan-rakannya, gembira dapat merasai kepelbagaian dan keunikan negara.

“Saya mempunyai beg kantung batik buatan tangan dan ia satu budaya Malaysia. Jadi apabila saya membawa beg itu ke luar negara, ia sesuatu yang berbeza dan unik untuk dipamerkan,” kata Christine sambil menambah beliau gemar mengembara dan melihat kepelbagaian budaya di seluruh dunia.

Sementara itu, pelajar universiti tempatan dari Rusia yang juga pempengaruh media sosial Anna Parshina, 19, berkata program tersebut menampilkan keistimewaan negara menerusi kekayaan budaya dan masyarakat berbilang budaya.

“Ia pengalaman pertama saya menghadiri program pelbagai budaya setelah dua tahun berada di Malaysia dan saya menyukainya kerana dapat belajar lebih banyak mengenai sejarah negara ini dan makanannya. Saya juga berpeluang belajar mengenai pelbagai jenis nasi lemak yang dipamerkan di sini,” kata Anna yang mengenakan baju kurung kuning.

Kanak-kanak seperti Muhammad Izzz Haraz Solehuddin, 10, dan adik perempuannya Jasmine Nurhaura Solehuddin, 7, turut seronok menyaksikan pameran seperti telefon klasik, mesin taip dan arca tarian tradisional seperti mak yong dan tarian singa, selain menyertai persembahan silat. 

“Pagi ini kami bangun pukul 6 pagi, tak rasa letih tetapi teruja nak buat persembahan depan semua dan seronok tengok barang-barang lama yang tidak pernah kami tengok sebelum ini,” kata Jasmine.

Program bertemakan “Meraikan Warisan Kita’ itu turut mengetengahkan tujuh jenis nasi lemak popular daripada penjual di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor termasuk Nasi Lemak Burung Hantu, Nasi Lemak Angah dan Nasi Lemak Tanglin berserta roti canai and teh tarik, sebagai sarapan pilihan utama rakyat Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan