SIBU, 6 Okt (Bernama) -- Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tan Sri Abang Johari Tun Openg tidak menolak kemungkinan mengetengahkan calon muda daripada Sayap Belia yang baharu ditubuhkan parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata syaratnya calon itu hendaklah mempunyai kebolehan dan diterima oleh semua pihak terutama sekali pengundi.
“Kalau ini dapat dipenuhi tidak kira latar belakang ataupun tempat, jika masyarakat dapat terima mereka kenapa tidak kita letakkan mereka (sebagai calon),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Belia PBB di sini hari ini.
Beliau berkata pada setiap pilihan raya 30 peratus calon yang diketengahkan PBB mestilah muka baru dan muka lama yang berpengalaman hendaklah bekerjasama dengan muka baru ini.
Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata golongan belia PBB perlu dilatih secukupnya agar dapat berinteraksi dengan baik dengan masyarakat di Sarawak yang diketahui mempunyai latar belakang majmuk.
Abang Johari meminta golongan muda ini tidak terlalu ghairah untuk bergerak cepat dalam bidang politik selain mengelak daripada menjadi terlalu ekstrem hingga sanggup menggunakan agama bagi mendapatkan sokongan.
“Itu sesuatu yang bahaya. Apa yang penting adalah untuk menjaga keamanan negeri Sarawak,” katanya sambil menambah pemimpin baru perlu bijak menjaga apa yang akan berlaku di masa hadapan dengan menimba sebanyak mungkin pengetahuan dalam bidang teknologi untuk membantu rakyat.
Beliau menyifatkan penubuhan Sayap Belia PBB detik bersejarah kepada politik Sarawak kerana memberi ruang untuk belia berusia 18 hingga 28 tahun menjadi ahli PBB dan dapat menyumbang ke arah bukan sahaja pembangunan PBB malah GPS.
Abang Johari berkata penyertaan belia dalam sayap tersebut akan menjadi satu bentuk ‘latihan amali’ dalam sebuah badan korporat untuk mereka menimba ilmu dan menyumbang kepada Sarawak seterusnya Malaysia.
Beliau berkata PBB menekankan latihan yang strategik khususnya dalam teknologi tinggi seperti dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), aeroangkasa, ekonomi hijau berteraskan tenaga hijau boleh diperbaharui, pertanian moden dan semi konduktor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial