AM

Mangsa Kebakaran Kampung Hilir Terima Pelbagai Bantuan - Fatimah

06/10/2024 10:06 PM

SIBU, 6 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sarawak telah menyalurkan pelbagai bantuan termasuk wang tunai keseluruhannya berjumlah RM149,750 kepada mangsa kebakaran di Kampung Hilir di sini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata bantuan yang disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) adalah termasuk bantuan awal yang diagihkan kepada 142 mangsa, sehari selepas kejadian itu.

Beliau berkata kebakaran yang berlaku pada 22 Sept lepas membabitkan 17 unit rumah dengan 15 daripadanya musnah sepenuhnya.

"Bantuan awal seperti makanan kering, peralatan dapur dan kelengkapan tidur telah diberi kepada ketua isi rumah di pusat pemindahan sementara (PPS). 

“Hari ini kita beri bantuan wang saku, pakaian harian, pakaian dan peralatan sekolah," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan cek bantuan bencana kepada mangsa kebakaran di sini hari ini. 

Beliau berkata peruntukan tersebut juga termasuk bantuan bahan binaan bernilai RM5,000 untuk setiap pemilik rumah yang 100 peratus musnah dalam kejadian itu. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan