KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Malaysia perlu mempamerkan keupayaannya sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama untuk berkembang maju menerusi tadbir urus yang baik dan toleransi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam temu bual dengan wartawan terkenal British-Amerika Mehdi Hasan baru-baru ini Anwar berkata, kejayaan Malaysia memupuk toleransi dan perpaduan dalam masyarakatnya yang pelbagai menunjukkan bagaimana negara majoriti Islam boleh mentadbir dan mengukuhkan ekonominya dengan berkesan.
“Dalam dunia di mana terdapat begitu banyak defisit, dari segi amanah, percanggahan, hipokrasi, perkauman, fanatik agama.. Malaysia perlu berupaya mempamerkan kehebatannya sebagai negara berbilang kaum, berbilang agama yang berjaya, melalui tadbir urus yang baik.
"Melalui toleransi dan khususnya dengan penduduk majoriti Islam, ia boleh ditampilkan bahawa, majoriti Islam boleh membantu mengurus negara dengan tadbir urus yang baik dan menyediakan ekonomi," katanya.
Ditanya pandangannya mengenai undang-undang hudud di Malaysia, perdana menteri menegaskan bahawa keutamaan baginya kini ialah keamanan dan keselamatan.
“Kita perlu membina konsensus jika itu (hudud) yang majoriti besar mahukan. (Tetapi) Mungkin tidak buat masa sekarang,” katanya.
Beliau berkata hudud sering digunakan sebagai alat politik, khususnya semasa pilihan raya.
“Apabila berkuasa, mereka (pembangkang) mendakwa ‘hudud bukan keutamaan kami sekarang.’ Jelas sekali bagi mereka, ia lebih kepada muslihat politik. Dalam Islam, kita mesti menangani keutamaan, dan bagi saya, keamanan dan keselamatan diutamakan,” katanya.
Anwar berkata dalam dunia yang kompleks hari ini, dengan cabaran seperti pendigitalan dan peralihan tenaga, tumpuan harus diberikan kepada isu sebenar dan mendesak.
“Dengan kerumitan pendigitalan dunia hari ini, peralihan tenaga, kita harus memberi tumpuan kepada cabaran sebenar ini.
“Keutamaan mesti termasuk meningkatkan kualiti pendidikan, menyediakan penjagaan kesihatan yang lebih baik, dan menangani isu-isu penting yang lebih mendesak, bukannya membincangkan topik yang pembangkang tahu tidak akan dilaksanakan,” kata Anwar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial