KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- UMNO komited untuk memperkukuhkan parti dan terus menjaga kerjasama baik antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu dalam hantaran di Facebook malam ini berkata perkara ini kerana perpaduan merupakan kunci kekuatan bagi parti untuk menghadapi cabaran.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata perkara itu antara yang ditekankan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang berlangsung di Menara Dato’ Onn Pusat Dagangan Dunia, di sini malam ini.
Menyentuh sidang Parlimen yang akan berlangsung pada 14 Okt ini, Ahmad Zahid berkata fokus UMNO adalah untuk memastikan aspirasi rakyat dapat dipenuhi.
“Marilah kita berganding bahu berkhidmat demi mencapai matlamat dan kejayaan yang lebih besar,” katanya.
Ahmad Zahid juga mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bekerja kuat membantu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota baru-baru ini, yang membuktikan kemampuan UMNO untuk bangkit dan meraih kejayaan.
Pada 28 Sept, BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan majoriti lebih besar selepas calonnya Syed Hussien Syed Abdullah memenangi PRK berkenaan menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.
Syed Hussien yang juga Ketua Pemuda Umno Kluang menang dengan majoriti 20,648 selepas meraih 27,995 undi, berbanding Mohamad Haizan dengan 7,347 undi.
Sementara itu, dalam sidang media selepas mesyuarat itu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata UMNO merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera parti Kerajaan Perpaduan termasuk rakan-rakan parti komponen BN, Friends of BN dan Pakatan Harapan (PH) yang bekerja kuat sebagai satu pasukan, hingga berjaya meyakinkan pengundi di DUN Mahkota.
“Mesyuarat menegaskan bahawa kemenangan ini tidak harus menjadikan UMNO angkuh dan bongkak, sebaliknya memastikan mandat yang diberikan rakyat dilaksanakan sebaik mungkin dengan penuh tawaduk dan beramanah.
“Kemenangan di DUN Mahkota juga memberikan isyarat jelas bahawa rakyat menerima baik model kerjasama Kerajaan Perpaduan berteraskan prinsip kesederhanaan, toleransi, tidak ekstrem dalam memainkan sentimen agama mahupun bangsa, yang boleh memudaratkan keharmonian rakyat berbilang kaum,” katanya.
Dalam hantaran berasingan di Facebook serta Instagram Asyraf Wajdi, beliau memaklumkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Ramli Mohd Nor telah mengangkat sumpah sebagai Ahli MT UMNO pada mesyuarat malam ini.
“Malam ini merupakan detik bersejarah apabila beliau menjadi Orang Asli pertama yang menjadi Ahli MT UMNO, membuktikan komitmen parti untuk menghargai dan memperjuangkan kepentingan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang termasuk Orang Asli.
“UMNO akan terus komited untuk memperjuangkan suara dan hak-hak masyarakat Orang Asli dan memberi peluang kepada mereka untuk bersama-sama memacu kegemilangan negara dalam landskap politik negara,” katanya.
Ramli ialah Ahli Parlimen Cameron Highlands.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial