ADDIS ABABA, 8 Okt (Bernama-Xinhua) -- Menteri Luar Ethiopia, Taye Atske Selassie dilantik sebagai Presiden baharu negara itu pada Isnin, menggantikan Sahle-Work Zewde yang telah berkhidmat selama enam tahun.
Pelantikan ini berlaku selepas tempoh perkhidmatan Sahle-Work tamat.
Taye Atske Selassie, sebelum ini pernah berkhidmat sebagai wakil tetap Ethiopia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengangkat sumpah di hadapan Dewan Perwakilan Rakyat dan Dewan Persekutuan Ethiopia.
Dalam ucapan pertamanya sebagai presiden, Taye menekankan kepentingan perpaduan negara dan menyeru rakyat Ethiopia untuk bersatu dalam usaha membangunkan negara.
Beliau turut menegaskan perlunya menghindari sebarang ideologi yang boleh memecah belah rakyat dan menyatakan komitmennya untuk menghadapi cabaran sosioekonomi dan tadbir urus yang dihadapi negara itu.
Presiden baharu itu berkongsi matlamat kerajaan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi sebanyak 8.4 peratus tahun ini.
Usaha sedang dijalankan untuk menangani masalah inflasi, kekurangan mata wang asing, serta membangunkan sektor pertanian yang lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim.
Atske Selassie turut menekankan hubungan rapat Ethiopia dengan China, yang kini dipertingkatkan menjadi perkongsian strategik, dan menyatakan penglibatan Ethiopia yang semakin kuat dalam platform antarabangsa seperti BRICS.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial