SEOUL, 8 Okt (Bernama-Yonhap) -- Penstriman muzik K-pop di platform penstriman terbesar dunia, Spotify, melonjak dalam tempoh lima tahun lepas berikutan pengaruh global genre itu yang terus berkembang, menurut data yang dikeluarkan pada Selasa.
Menurut data daripada perkhidmatan penstriman itu, penstriman K-pop meningkat sebanyak 362 peratus di pasaran global dan 182 peratus di Amerika Syarikat pada 2023 berbanding 2018.
Di Asia Tenggara, di mana K-pop sangat popular, penstriman meningkat sebanyak 423 peratus dalam tempoh yang sama, lapor agensi berita Yonhap.
Amerika Syarikat mendahului senarai negara dengan bilangan pendengar K-pop terbanyak, diikuti Indonesia, Filipina, Jepun, Mexico, Thailand, India, Brazil, Malaysia dan Kanada.
“K-pop kini menjadi kuasa global, dengan artisnya menembusi carta antarabangsa seperti Billboard,” kata Park Jung-joo, Ketua Pasukan Muzik Spotify Korea semasa acara “Sesi Perbincangan K-pop” anjuran syarikat itu di Seoul.
K-pop, yang bermula di Korea, kini dihubungkan dengan peminat di seluruh dunia melalui ramai artis.
Kelab Billions Spotify, yang mengiktiraf lagu dengan lebih satu bilion penstriman, telah menerima beberapa lagu K-pop, termasuk "Like Crazy" oleh Jimin, anggota BTS, "Money" oleh Lisa, anggota BLACKPINK, dan "How You Like That" oleh BLACKPINK.
Lagu "Seven" oleh Jungkook, anggota BTS, mencatat satu bilion penstriman dalam hanya 108 hari selepas dikeluarkan, menjadikannya lagu terpantas dalam sejarah Spotify untuk menyertai kelab itu.
Kolaborasi antara artis K-pop dan artis antarabangsa turut menyumbang kepada kebangkitan global genre itu, menurut laporan.
Apabila Tomorrow X Together bekerjasama dengan artis Brazil, Anitta untuk lagu "Back for More", dan Lisa daripada BLACKPINK berkolaborasi dengan bintang pop Rosalia untuk lagu "New Woman", kedua-dua lagu menyaksikan lonjakan pendengar kali pertama bagi artis K-pop berkenaan, menurut Spotify.
Perkhidmatan itu juga menyatakan bahawa pertumbuhan K-pop tidak terhad kepada artis ternama seperti BTS, BLACKPINK dan Stray Kids, tetapi turut ketara dalam kalangan kumpulan baharu yang semakin meningkat.
Pada separuh pertama 2024, empat daripada lima lagu Korea yang paling banyak distrim di peringkat antarabangsa adalah daripada kumpulan baharu, seperti ILLIT yang menduduki tempat pertama, Le Sserafim dan Babymonster yang berada di tempat ketiga hingga kelima.
Data Spotify juga menunjukkan peningkatan jumlah pendengar bulanan bagi kumpulan K-pop yang sedang meningkat. Babymonster mencatat 7.5 juta pendengar, Kiss of Life dengan 6.7 juta, manakala ILLIT menarik 10 juta pendengar di peringkat global.
-- BERNAMA-YONHAP
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial