IPOH, 9 Okt (Bernama) -- Sejumlah RM1.102 juta telah diagihkan kepada atlet Perak yang berjaya meraih pingat dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2024, yang berlangsung di Sarawak baru-baru ini.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata daripada jumlah tersebut, RM815,800 diperuntukkan kepada atlet SUKMA, manakala RM286,200 diberikan kepada atlet Para SUKMA sebagai ganjaran atas kecemerlangan mereka.
“SUKMA kali ini mencatatkan sejarah apabila kita berjaya merekodkan kutipan pingat tertinggi sepanjang penyertaan di luar Perak. Ini adalah pencapaian yang amat membanggakan buat negeri,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Insentif Kontinjen SUKMA dan Para SUKMA di sini, malam tadi.
Menurut Saarani, Perak turut berjaya mencapai sasaran 35 pingat emas yang ditetapkan. Lebih menarik, majoriti atlet yang bertanding masih layak beraksi dalam edisi SUKMA Selangor 2026, memberi harapan cerah untuk kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.
Pada temasya SUKMA 2024 yang berlangsung dari 17 Ogos hingga 24 Ogos, kontinjen Perak mengumpul 35 emas, 38 perak, dan 56 gangsa, sekali gus menduduki tempat ketujuh daripada 15 negeri yang bertanding.
Bagi kontinjen Para SUKMA, Perak berjaya mencatatkan prestasi cemerlang dengan berada dalam kelompok lima terbaik, setelah mengumpul 25 pingat emas, 22 perak, dan 20 gangsa pada temasya yang berlangsung dari 22 Sept hingga 28 Sept lepas.
Saarani turut berharap agar semua atlet SUKMA dan Para SUKMA terus meningkatkan prestasi masing-masing untuk memastikan kejayaan lebih gemilang, bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah di arena antarabangsa.
“Kejayaan ini bukanlah penamat perjuangan kita. Sebaliknya, ia adalah titik permulaan bagi kita mencapai lebih banyak kejayaan gilang-gemilang di masa hadapan.
“Ingin saya tegaskan juga, sukan bukan sekadar tentang pingat dan kemenangan semata-mata, sebaliknya ia melahirkan sifat ketekunan, kerjasama dan integriti. Nilai inilah yang sepatutnya tersemat dalam diri atlet,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial