KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Malaysia berada di landasan tepat untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata ini susulan pengumuman Bank Dunia semalam yang meningkatkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.9 peratus untuk tahun ini daripada jangkaan awal sebanyak 4.3 peratus sebelum ini.
“Setelah hampir dua tahun tertubuhnya Kerajaan Perpaduan, kita menyaksikan perkembangan yang amat positif terutamanya dalam aspek pertumbuhan ekonomi. Kejayaan ini dipacu oleh keberkesanan dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan, pengukuhan pelaburan dan perdagangan serta kestabilan politik yang berjaya diwujudkan.
“Nilai ringgit juga menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. Pada Julai 2024, ringgit meningkat sebanyak 2.5 peratus berbanding dolar AS, jauh mengatasi prestasi dolar Singapura, baht Thailand, dan rupiah Indonesia yang hanya mencatatkan peningkatan purata satu peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulan Oktober Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata jumlah pelaburan yang diluluskan juga melonjak kepada RM160 bilion pada separuh pertama tahun ini, meningkat 18 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023 selain nilai dagangan turut mencatatkan peningkatan sebanyak 18.6 peratus pada Ogos, tertinggi dalam tempoh 22 bulan.
Selain itu, kadar inflasi juga menurun kepada 1.9 peratus dan kadar pengangguran stabil pada 3.3 peratus dengan 190,000 peluang pekerjaan telah diwujudkan pada suku kedua tahun ini.
“Masih banyak lagi pencapaian cemerlang yang kita boleh banggakan sebagai rakyat Malaysia. Bursa Malaysia mencatatkan kenaikan, nilai dagangan melonjak, rizab Bank Negara Malaysia meningkat, penyeludupan diesel berjaya dikekang dan banyak lagi,” katanya.
Kumpulan Bank Dunia semalam menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.9 peratus pada 2024 daripada 4.3 peratus yang ditetapkan pada April lepas.
Ketua Ahli Ekonominya bagi Malaysia Apurva Sanghi berkata semakan naik itu didorong oleh faktor domestik dan luaran ketika ekonomi global mencatat prestasi lebih baik berbanding jangkaan pada enam bulan lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial