PUTRAJAYA, 9 Okt (Bernama) -- Fungsi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) perlu diperluas untuk mengurus komoditi durian, berikutan kejayaan negara mengeksport durian segar ke China baru-baru ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata durian dapat diurus dengan peluasan fungsi LPNM dengan menggabungkan komoditi nanas, kelapa, dan durian.
"Ini penting supaya hasrat kita untuk mengurangkan defisit imbangan dagangan dapat dicapai melalui ketiga-tiga komoditi ini yang sememangnya mendapat permintaan yang begitu tinggi," katanya kepada media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), di sini hari ini.
Mohamad berkata sebanyak 40 tan metrik durian segar Malaysia telah habis terjual dalam masa 24 jam di pasaran China pada 4 Okt lepas.
"Begitu juga dengan nanas, kita hanya mampu mengeksport 800 kontena setahun sedangkan permintaannya adalah 4,000 kontena setahun," katanya.
Mohamad berkata KPKM sedang berbincang dengan China untuk mengeksport durian kampung yang dilihat berpotensi besar membantu menambah pendapatan pekebun kecil.
"Justeru kita akan berusaha untuk mencari peluang-peluang baharu yang dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya bagi kebaikan negara dan rakyat di masa hadapan," katanya.
Selain itu, Mohamad juga menekankan bahawa Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), dan Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Pelaburan (BDI) perlu bekerjasama rapat untuk merealisasikan impian tersebut.
Malaysia telah mengeksport durian segar ke China buat kali pertama pada 24 Ogos lepas, selepas dua bulan Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China dimeterai.
Kejayaan ini adalah hasil usaha KPKM selama lapan tahun, bermula dari 2016, di mana sebelum ini hanya durian sejuk beku yang boleh dieksport ke negara tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial