AM

RISDA Sambut Baik Kolaborasi Strategik Tangani Kebun Getah Tidak Bertoreh

09/10/2024 06:03 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan memperhalusi cadangan supaya agensi itu melakukan kolaborasi strategik bersama komponen dalam ekosistem industri getah, bagi menangani masalah kebuh getah tidak bertoreh di seluruh negara.

Pengerusi RISDA Manndzri Nasib berkata pihaknya menyambut baik saranan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), untuk memastikan peningkatan pengeluaran hasil getah asli negara terutama nasib pekebun kecil yang menjadi penyumbang 86 peratus hasil getah negara, berbanding sektor estet.

“Melalui inisiatif ini, kami komited mengadakan jalinan strategik bagi mengaktifkan Program Pemulihan Getah Terbiar mulai tahun ini, dalam usaha merancakkan kembali aktiviti pengeluaran hasil getah asli melalui komuniti pekebun kecil getah, yang melibatkan kawasan seluas 420,000 hektar secara keseluruhan.

“RISDA juga akan memperkasa Program Konsolidasi Getah melibatkan syarikat milikan RISDA, dalam usaha meningkatkan nilai tambah kepada usaha pengeluaran hasil getah melalui operator pengeluaran yang dilantik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Manndzri berkata tumpuan turut diberikan bagi memperkasa usaha pengeluaran hasil getah dalam bentuk lateks yang memberikan pulangan lebih tinggi berbanding sekerap, melalui usaha menyediakan depoh pengumpulan hasil sekerap dan lateks.

Beliau berkata pihaknya juga akan menyokong sinergi antara RISDA dan pihak berkepentingan pada masa ini, dengan memainkan peranan dan fungsi masing-masing secara inklusif demi memastikan sasaran yang sama dapat dicapai.

“RISDA komited dalam mencorak landskap baharu industri getah yang bakal memberikan pendapatan serta peningkatan taraf hidup komuniti pekebun kecil, di samping manfaat kepada pemain industri melalui bekalan getah tempatan yang mencukupi.

“Selain itu, RISDA juga akan mengintai potensi dan peluang dalam merancakkan industri ekonomi hiliran berasaskan getah, melalui syarikat milikan di bawah pengurusan Kumpulan RISDA Holdings,” katanya.

Beliau berkata penglibatan RISDA dan pihak berkepentingan akan diperkasakan secara kolektif kepada program rintis yang bakal dilaksanakan  bermula dari awal, bagi membolehkan pelaksanaan di lapangan berjaya dan memberi manfaat terbaik kepada pekebun kecil.

Semtara itu mengenai pelan strategik bersama pihak berkepentingan, Manndzri mencadangkan supaya sebarang pembangunan dan penyediaan kertas kerja atau Nota Jemaah Menteri dilakukan secara bersama antara RISDA dan pihak berkepentingan.

“Ini bertujuan memastikan sebarang cadangan kepada kerajaan berhubung industri getah dan pekebun kecil adalah komprehensif dan strategik, dengan mempunyai kebolehlaksanaan yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata RISDA kini dalam fasa perbincangan bagi melaksanakan Program Tanaman Getah Berskala Besar (TGBB), yang bakal diusahakan bersama kerajaan negeri melalui tanah yang diusahakan dengan penanaman getah berkonsepkan estet, dengan sasaran keluasan 5,000 hektar dalam tempoh lima tahun pelaksanaannya.

Manndzri berkata program itu dijangka bakal memanfaatkan seramai 2,700 peserta melalui pemberian hasil secara saham.

“Melalui cadangan kerjasama yang bakal dilaksanakan, RISDA berharap agar penyelesaian isu ini dapat diselesaikan, sekali gus merancakkan pengeluaran hasil getah asli negara yang akhirnya memberikan pendapatan lebih baik kepada pekebun kecil, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada import getah,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan