EKONOMI

Mitsubishi Power Mahu Perluas Kepakaran Turbin Gas Di Rantau Ini

09/10/2024 06:43 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Mitsubishi Power Asia Pacific Pte Ltd menyasarkan untuk mengembangkan kepakarannya dalam turbin gas di Asia Tenggara susulan potensi meluas penggunaan gas asli dan gas asli cecair (LNG) di rantau ini.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutifnya Akihiro Ondo berkata ini juga sejajar dengan kemampuan turbin gas syarikat berkenaan melakukan pembakaran bersama hidrogen sehingga 30 peratus.

“Kami menjangkakan potensi penggunaan gas asli atau LNG yang besar di Asia Tenggara. Inilah penyelesaian tradisional sebenar bagi rantau ini dan pemilik loji boleh memulakan operasi dengan menggunakan sepenuhnya gas asli atau LNG.

“Apabila rantaian bekalan hidrogen menjadi berdaya maju dari segi ekonomi, loji berkenaan dapat memulakan pembakaran bersama dengan hidrogen sehingga 30 peratus dan secara beransur-ansur ditingkatkan kepada 50 peratus dan sehingga 100 peratus, bergantung kepada perkembangan rantaian bekalan," katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di luar acara Enlit Asia 2024 di sini.

Acara tahunan serantau yang berlangsung pada 8-10 Oktober, menghimpunkan keseluruhan rantaian tenaga di bawah satu platform.

Ondo yang menerajui syarikat berkenaan sejak April 2023 juga menjangkakan pertumbuhan ketara di rantau Asia Pasifik, terutama bagi pasaran Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Vietnam dan Filipina.   

“Malaysia misalnya akan menikmati tambahan penjanaan tenaga secara berterusan,” katanya yang turut merujuk kepada kontrak terbaru yang diperoleh syarikat itu pada Ogos lepas.

Mitsubishi Power mendapat kontrak bagi membekal turbin gas dan stim untuk loji janakuasa kitaran gabungan turbin gas (GTCC) berkapasiti 500-megawatt (MW) di Miri, Sarawak. 

Kontrak dimeterai dengan syarikat kejuruteraan dan pembinaan kuasa hidro milik China, Sinohydro Corporation, termasuk turbin gas M701F dengan kapasiti pembakaran bersama hidrogen sehingga 30 peratus.

Loji itu adalah milik PETROS Power, anak syarikat Petroleum Sarawak Bhd (Petros) manakala projek berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi besar-besaran Sarawak bagi meningkatkan keterjaminan tenaga serta menyokong pertumbuhan ekonomi di bawah Pelan Hala Tuju Gas negeri.

Ondo berkata projek berkenaan berjalan lancar untuk beroperasi menjelang 2027.

“Kami telah memulakan aspek kejuruteraan asas (projek berkenaan) selain menjalankan banyak sesi teknikal dengan kontraktor EPCC (kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan) dari China serta pemilik iaitu Petros,” katanya.

Sejak 1960-an, Mitsubishi Power bergiat aktif dalam pembekalan teknologi dan penyelesaian tenaga seperti loji janakuasa GTCC, dandang, penjana serta perkhidmatan penyelenggaraan ke Malaysia. 

“Ini termasuk pembekalan beberapa kemudahan penjanaan kuasa di Malaysia seperti turbin gas dan menyediakan sokongan penyelenggaraan kepada stesen janakuasa sedia ada.

“Kami turut memanfaatkan sumber atau alat ganti (perkhidmatan lain) kepada pelanggan di Malaysia dan peluang baharu GTCC di Miri akan membolehkan syarikat meningkatkan komitmen terhadap stesen janakuasa di Malaysia," katanya.

Selain Malaysia, Mitsubishi Power juga telah menyiapkan pembinaan unit M701JAC kelapan dan terakhir bagi projek loji janakuasa gas asli 5,300MW di Thailand. 

Projek usaha sama antara Gulf Energy Development Public Company Limited, salah satu penjana tenaga bebas terbesar di Thailand dan Mitsui & Co Ltd, telah memulakan operasi komersial sepenuhnya pada 1 Okt, 2024.

Dalam pada itu, Ondo turut berkongsi komitmen syarikat itu untuk terus memberi sokongan dalam usaha penyahkarbonan di Asia Pasifik.

Ini juga sejajar dengan kepakaran teras syarikat dalam menawarkan penyelesaian teknologi dan sistem penjanaan kuasa, termasuk menerusi pemilikan stesen janakuasa berkapasiti 550MW di kilangnya di bahagian barat Jepun.

“Kami telah memulakan pemasangan kemudahan pengeluaran hidrogen dan menghasilkan penyimpanan hidrogen di tempat sama. Pelaburan dalam kemudahan teknologi ini usaha penting untuk kami menyumbang kepada penyahkarbonan. 

“Sehubungan itu, kami akan meneruskan pendekatan dan menyediakan penyelesaian komersial untuk rantau Asia Pasifik serta di serata dunia," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan