AM

Kerajaan Negeri Sembilan Siap Siaga Bencana Banjir

09/10/2024 08:34 PM

SEREMBAN, 9 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi musim tengkujuh yang diramalkan berlaku pada bulan depan berikutan peralihan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka lebih awal.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata Pengurusan Bencana Negeri yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zafir Ibrahim telah mengadakan mesyuarat bersama agensi-agensi lain bagi mendapatkan maklumat berkaitan dan persiapan menghadapi bencana itu.

"Saya dimaklumkan bahawa pihak SUK telah bersedia, Mohd Zafir sebagai Pengerusi Bencana Negeri telah bermesyuarat mengenai persiapan menghadapi banjir dan apa juga berlaku kita harus bersedia dari sekarang.

"Agensi bersama perlu digerakkan dengan penyediaan maklumat yang perlu dikongsikan bagi memudahkan semua pihak. Kita juga telah minta supaya bilik gerakan dapat digerakkan dengan segera apabila diperlukan nanti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan pasca Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam dilaporkan meminta masyarakat berwaspada dan siap siaga bagi menghadapi kemungkinan banjir kerana MTL dijangka lebih awal iaitu minggu keempat bulan ini susulan perubahan cuaca.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata Jabatan Pengairan Dan Saliran telah mengenal pasti kawasan berisiko khususnya banjir termenung dan mobilisasi melalui kerjasama jawatankuasa bencana negeri dan daerah perlu dilaksanakan.

Dalam pada itu, Aminuddin berharap peruntukan lebih tinggi dapat diberikan kepada pembangunan infrastruktur di negeri ini menerusi Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan nanti.

Beliau berkata ini kerana tumpuan kerajaan negeri ketika ini adalah memberikan infrastruktur yang lebih baik kepada rakyat, sekali gus mempercepatkan proses pembangunan seperti yang dirancang bersama kerajaan negeri dan Persekutuan.

Belanjawan 2025 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada 18 Okt ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan