AM

'Green Door Document' Garis Panduan Pembuatan, Sokong Pelaksanaan Perolehan Hijau Kerajaan - FRIM

10/10/2024 08:14 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama)  -- ‘Green Door Criteria Document’ yang diluncurkan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad semalam merupakan garis panduan dalam pembuatan produk pintu hijau untuk menyokong pelaksanaan Perolehan Hijau Kerajaan. 

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, dokumen yang dibangunkan FRIM dan pemegang taruh industri itu, akan memberi panduan kepada pihak industri dalam memenuhi keperluan pensijilan hijau, selari dengan aspirasi global di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG2030).

“Dokumen ini juga penting bagi usaha meningkatkan kecekapan tenaga dalam penghasilan pintu hijau selain memastikan produk mematuhi piawaian antarabangsa dalam mengurangkan pelepasan karbon, meningkatkan kesedaran pengguna dari aspek keselamatan, kesihatan, kualiti dan alam sekitar. 

“Inisiatif ini juga penting untuk melaksanakan tanggungjawab sosial dalam memastikan impak positif terhadap masyarakat dan alam sekitar, serta mengekalkan keseimbangan ekosistem dalam sektor pembuatan,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Nik Nazmi telah meluncurkan ‘Green Door Criteria Document’ sempena Persidangan dan Pameran  Teknologi Hijau dan Produk Eko Hijau Antarabangsa’ (IGEM) 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. 

Menurut kenyataan itu, dokumen tersebut telah diiktiraf oleh badan industri seperti Majlis Kayu Kumai dan Tanggam Malaysia (MWMJC) serta Persatuan Kayu Malaysia (MTA), selain akan dikemas kini secara berkala berdasarkan perubahan keperluan semasa.

“Pelbagai program dan piawaian pengiktirafan antarabangsa telah diambil kira dalam pemilihan kriteria dalam dokumen ini. Metodologi penilaian yang diguna pakai adalah berdasarkan kriteria yang diterima daripada piawaian antarabangsa serta pengiktirafan setara yang digunapakai oleh negara-negara lain,” menurut FRIM. 

Menurut kenyataan itu, semasa pelancaran dokumen tersebut semalam, Nik Nazmi juga menyampaikan sijil kepada syarikat-syarikat yang menyertai Pensijilan Pintu Hijau, iaitu Weng Meng Industries Sdn Bhd, Famous-Ed Sdn Bhd, dan Molicc System Sdn Bhd. Manakala Furnitech Industries (M) Sdn Bhd, One-Tech (M) Sdn Bhd, Malpro Industri Sdn Bhd dan Impressive Transforms Sdn Bhd menerima Pensijilan Perabot Hijau.

Dalam kenyataan sama, Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Ismail Parlan berkata inisiatif Pensijilan Pintu Hijau dan Pensijilan Perabot Hijau itu menyokong Strategi Keberhasilan Reformasi (SKR) iaitu bagi memperkukuh budaya hijau dan kelestarian sumber melalui kerjasama dengan pihak industri.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan