DUNIA

Bursa Malaysia Ditutup Tinggi Dipacu Aktiviti Buru Saham Harga Rendah

10/10/2024 06:16 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia mengekalkan momentum peningkatannya pada akhir dagangan Khamis, didorong oleh minat belian ketara terhadap saham susulan jualan baru-baru ini, kata penganalisis.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 6.03 mata atau 0.36 peratus kepada 1,640.94 daripada paras 1,634.91 yang dicatatkan pada akhir dagangan semalam.

Indeks petunjuk utama itu yang dibuka naik 4.84 mata kepada 1,639.75, bergerak dalam julat 1,638.67 hingga 1,646.14 sepanjang dagangan hari ini.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 568 berbanding 434 manakala 540 kaunter tidak berubah, 899 tidak diniagakan dan 22 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.63 bilion unit bernilai RM2.30 bilion daaripada 3.22 bilion unit bernilai RM2.47 bilion, semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama juga menyaksikan sentimen optimis berikutan isyarat positif daripada prestasi semalaman Wall Street.

"Pasaran China dan Hong Kong juga meningkat semula susulan harapan terhadap langkah rangsangan bagi menyokong ekonomi kedua terbesar dunia itu. Kementerian Kewangan China akan mengadakan taklimat pada Sabtu yang dijangka memperincikan langkah rangsangan kerajaan itu," katanya kepada Bernama.

Pada Khamis, bank pusat China mengumumkan program pembiayaan bernilai 500 bilion yuan bagi meningkatkan kecairan pasaran modal dengan permohonan berkenaan telah dibuka kepada institusi kewangan. 

“Kami menjangkakan perkembangan ini akan menyuntik kesan positif ke atas sentimen pelabur yang berpotensi memberi manfaat kepada pasaran saham Malaysia," katanya.

Susulan itu, beliau menjangkakan FBM KLCI berada dalam julat 1,640-1,650 menjelang hujung minggu ini.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Apex Securities Bhd Kenneth Leong berkata aktiviti memburu saham-saham berharga rendah seterusnya mungkin berlaku menjelang pembentangan Belanjawan 2025 pada minggu depan.

“Pelabur akan menumpukan pengumuman data pengeluaran perindustrian dan jualan runcit Malaysia esok bersama data indeks harga pengeluar Amerika Syarikat pada malam esok," katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan IHH Healthcare masing-masing meraih empat sen kepada RM10.54 dan RM7.26; CIMB naik lima sen kepada RM8.08; Petronas Chemicals menambah satu sen kepada RM5.61 manakala Hong Leong Bank tidak berubah pada RM21.10.

Bagi saham aktif, Autoris Group yang mula disenaraikan di Pasaran LEAP mengukuh 40 sen kepada 50 sen; Pertama Digital meningkat 6.5 sen kepada 31 sen; MYEG naik tiga sen kepada 93.5 sen; Bina Puri meraih 1.5 sen kepada 37 sen namun Top Glove susut dua sen kepada RM1.03.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas naik 46.73 mata kepada 12,317.24; Indeks FBMT 100 meningkat 45.77 mata kepada 12,014.60; Indeks FBM 70 melonjak 72.82 mata kepada 17,578.49, dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 43.60 mata kepada 12,210.23 manakala Indeks FBM ACE turun 9.28 mata kepada 5,150.74.

Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meraih 57.58 mata kepada 19,303.27; Indeks Perladangan naik 27.38 mata kepada 7,199.55 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.54 mata kepada 175.82 manakala Indeks Tenaga turun 2.18 mata kepada 881.88.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 1.59 bilion unit bernilai RM2.10 bilion daripada 1.69 bilion unit bernilai RM2.17 bilion, semalam.

Selain itu, jumlah perolehan waran susut kepada 656.26 juta unit bernilai RM98.73 juta daripada 1.06 bilion unit bernilai RM137.28 juta semalam. 

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan susut kepada 387.86 juta unit bernilai RM96.43 juta daripada 461.09 juta unit bernilai RM155.36 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 389.65 juta saham didagangkan di Pasaran Utama manakala  produk dan perkhidmatan perindustrian (213.22 juta), pembinaan (167.20 juta), teknologi (180.91 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (56.38 juta), hartanah (211.18 juta), perladangan (24.33 juta), REIT (14.32 juta), dana tertutup (46,600), tenaga (98.03 juta), penjagaan kesihatan (121.86 juta), telekomunikasi dan media (23.97 juta), pengangkutan dan logistik (30.70 juta), utiliti (57.87 juta) dan amanah perniagaan (1.06 juta).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan