AM

Kebakaran Empat Gudang Berjaya Dikawal, Pemantauan Diteruskan - Bomba

10/10/2024 07:41 PM

ISKANDAR PUTERI, 10 Okt (Bernama) -- Kebakaran di Kawasan Perindustrian SILC di sini melibatkan empat gudang dan api dapat dikawal sepenuhnya sekitar 1.34 tengah hari tadi, kata Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor Penolong Pesuruhjaya Bomba Muhammad Al-Mustakin Abdul Hady.

Beliau berkata kebakaran itu setakat ini menyebabkan tiga gudang musnah 80 peratus dan sebuah lagi musnah 10 peratus.

Hasil siasatan awal mendapati kebakaran bukan berpunca daripada sebuah gudang penyimpanan kimia yang mempunyai thinner.

“Keempat-empat gudang ini merupakan gudang penyimpanan yang dimiliki oleh tiga syarikat berlainan dan kita dapati kebakaran bukan bermula dari gudang yang mempunyai thinner itu.

“Bagaimanapun, kita akan serahkan kepada pihak forensik untuk menjalankan siasatan penuh,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian di sini hari ini. 

Beliau berkata pihaknya sedang memantau di lokasi kejadian bagi memastikan tiada sebarang risiko yang boleh mencetuskan semula kebakaran. 

Terdapat sembilan pekerja di lokasi kejadian ketika kebakaran berlaku termasuk tiga warga asing yang cedera.

“Difahamkan ada berlaku letupan ketika kejadian dan mungkin tiga mangsa ini tidak sempat menyelamatkan diri,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan ketika dihubungi berkata ketiga-tiga mangsa yang cedera berusia 30 hingga 40 tahun masih menerima rawatan di Zon Merah wad kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HSA). 

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan