AM

Jenazah Dua Penuntut UiTM Dungun Terlibat Kemalangan Selamat Dikebumikan

10/10/2024 10:57 PM

SUNGAI BULOH, 10 Okt (Bernama) -- Jenazah dua penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang maut dalam kemalangan di Jalan Pantai Sura, Dungun semalam, selamat dikebumikan hari ini.

Jenazah Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, dibawa pulang ke kediaman keluarganya di Taman Seri Pristana di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Aliyah Saujana Utama, di sini pada 6.30 petang tadi.

Suasana pilu menyelubungi kawasan tanah perkuburan yang dihadiri ratusan orang dengan beberapa ahli keluarga Allahyarham Ku Adib Aizad dilihat tidak dapat menahan sebak sepanjang pengebumian.

Bapa Allahyarham, Ku Azmi Saad, 47, berkata beliau menerima berita mengenai kejadian yang meragut nyawa anak sulung daripada empat beradik itu ketika sedang dalam perjalanan untuk mengerjakan ibadah umrah di Makkah bersama isteri, Hafizah Iszahanid, 48.

Beliau berkata mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 5.35 petang dan tiba di Jeddah, Arab Saudi pada 9.13 malam waktu Jeddah. 

"Setelah tiba di Jeddah, saya terkejut apabila menerima mesej daripada keluarga dan rakan-rakan mengenai kematian anak saya. Agensi yang menguruskan perjalanan kami ke Makkah telah membantu mendapatkan tiket pulang paling awal ke Kuala Lumpur dan kami berlepas pada 1.55 pagi waktu Jeddah dan tiba di KLIA kira-kira 3.33 petang tadi,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Ku Azmi berkata kali terakhir beliau bertemu Ku Adib Aizad pada Jumaat lepas ketika menghantar anaknya itu pulang ke Kampus UiTM Dungun.

"Anak saya ini seorang yang gemar membantu terutama rakan-rakannya, yang kita dapat lihat ramai daripada mereka hadir pengebumian hari ini. Di rumah, kami sering bergurau tentang bola sepak dan memancing, hari ini saya telah kehilangan kawan bola sepak dan memancing saya," katanya. 

Sementara itu jenazah Allahyarham Khairil Anwar Jamaludin, 20, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Ukay Perdana, Ampang kira-kira 4 petang tadi.

Bapa Allahyarham, Jamaludin Hussin, 53, berkata anak bongsu daripada lima beradik itu seorang yang baik hati dan penyayang serta menurut segala permintaan ibu bapa tanpa sebarang persoalan. 

“Dia memang anak yang baik hati, penyayang dan tidak pernah melenting apabila dimarah. Sejak kecil pun, dia tidak pernah buat perangai," katanya. 

Jamaludin berkata Allahyarham bercita-cita untuk menjadi akauntan dan mempunyai perancangan untuk mengambil peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan