DUNIA

Malaysia Sasar Hubungan Ekonomi Kukuh Dengan Vietnam Menerusi Industri Baharu - PM Anwar

10/10/2024 11:15 PM

Daripada Kenny Teng Khoon Hock & Sharifah Hunaini Syed Ismail

VIENTIANE, 10 Okt (Bernama) -- Malaysia berhasrat untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi bersama-sama Vietnam dengan meneroka peluang bagi penglibatan sektor swasta dalam industri baharu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa pertumbuhan pesat perindustrian Vietnam memperlihatkan potensi besar terhadap kerjasama yang akan memanfaatkan kedua-dua ekonomi, terutama memandangkan permintaan global terhadap teknologi termaju yang meningkat.

"Malaysia berminat untuk meneroka peluang bagi penglibatan sektor swasta dalam rantaian nilai baharu, khususnya dalam industri kenderaan elektrik, elektronik, semikonduktor dan bahan termaju," kata Anwar dalam kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat beliau dari Vietnam, Pham Minh Chinh, di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane, Laos.

Beliau berkata Malaysia bersedia membantu Vietnam dalam meningkatkan sistem pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan perikanan dengan berkongsi amalan terbaik.

Selain itu, turut dibincangkan adalah kerjasama dalam bidang industri halal, yang menyaksikan Malaysia, selaku peneraju global dalam pensijilan halal, menyatakan kesediaan untuk bekerjasama rapat dengan Vietnam.

“Malaysia bersedia untuk menawarkan kepakaran dalam pensijilan dan pematuhan halal, yang boleh membuka peluang baharu untuk Vietnam dalam pasaran halal global," kata Perdana Menteri. 

Hanoi adalah rakan dagang ke-12 terbesar Malaysia di dunia dan rakan dagang keempat terbesarnya di ASEAN, selepas Singapura, Indonesia dan Thailand.

Pada Julai, kedua-dua negara dilaporkan bersetuju untuk berusaha mencapai sasaran perolehan perdagangan dua hala US$18 bilion secepat mungkin, dengan mewujudkan persekitaran menggalakkan dalam produk dan perkhidmatan, termasuk barangan halal, untuk memasuki pasaran pengguna di kedua-dua negara.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan