EKONOMI

PM Anwar Gesa Kerjasama ASEAN-Australia Diperkukuh

11/10/2024 12:08 AM

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail

VIENTIANE, 10 Okt (Bernama) -- Malaysia menggesa kerjasama antara negara anggota ASEAN dan Australia diperkukuhkan, terutama dalam bidang pembangunan modal insan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan beliau pada Sidang Kemuncak ASEAN-Australia Keempat menekankan kepada kerjasama dalam sektor utama termasuk keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan tenaga bersih.

Beliau turut menegaskan kepentingan mengutamakan pendidikan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) untuk melengkapkan tenaga kerja dengan kemahiran penting yang diperlukan dalam bidang yang sedang berkembang ini.

Perdana Menteri Australia Anthony Albanese mengetuai delegasi negaranya pada sidang kemuncak itu, sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan yang diadakan di sini.

Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Australia atas kejayaan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia di Melbourne pada Mac 2024, yang meraikan ulang tahun ke-50 hubungan dialog ASEAN-Australia.

Beliau turut menggesa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan perniagaan yang diteraju wanita di ASEAN untuk memanfaatkan sepenuhnya Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Ditubuhkan di Vientiane pada 30 Nov 2004 semasa Sidang Kemuncak ASEAN-Australia-New Zealand, AANZFTA adalah perjanjian ekonomi komprehensif yang dihasilkan untuk meningkatkan akses pasaran dan peluang pelaburan di seluruh ASEAN, Australia dan New Zealand, menggalakkan persekitaran perdagangan yang lebih liberal, telus dan memudahkan dalam kalangan penandatangan.

Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN daripada Laos pada 11 Oktober.

Sebelum ini, Malaysia menggalas peranan sebagai pengerusi pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

ASEAN yang ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 kini dianggotai oleh 10 negara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand, Singapura dan Vietnam. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan