AM

Pemeliharaan Alam Sekitar Antara Fokus Persidangan Pelancongan Lestari

11/10/2024 12:35 AM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Pemeliharaan alam sekitar, pemerkasaan ekonomi setempat serta perlindungan terhadap warisan budaya ke arah keamanan global antara fokus utama Persidangan Pelancongan Lestari sempena Hari Pelancongan Sedunia 2024.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memaklumkan persidangan itu menampilkan penceramah antarabanga dan tempatan bagi berkongsi pandangan serta kepakaran mengenai amalan, strategi inovatif dan perkembangan terkini pelancongan lestari seiring dengan perkembangan teknologi digital.

Menurut MOTAC, sesi perkongsian ilmu semasa persidangan berkenaan turut membincangkan mengenai Community Based Tourism, pelancongan bandar dan luar bandar serta kaitannya dengan keamanan dan juga polisi terkini berkaitan industri pelancongan.

Persidangan bertemakan  ‘Pelancongan dan Keamanan - Membina Semula Daya Tahan dan Kesediaan Pelancongan Menerusi Pelancongan Lestari’ telah menarik lebih 300 peserta terdiri daripada wakil-wakil kementerian, pemain industri dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

“Bilangan penyertaan yang memberangsangkan ini menggambarkan tahap kesedaran dan kepekaan umum terhadap kepentingan amalan lestari dalam setiap rantaian nilai industri pelancongan negara,” menurut kenyataan itu.

Kerjasama erat antara MOTAC, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam dan Tourism Productivity Nexus (TPN) dalam penganjuran persidangan itu menunjukkan kesungguhan Malaysia memacu agenda pembangunan mampan di peringkat antarabangsa, khususnya menjelang Kepengerusian ASEAN 2025 dan Kempen Melawat Malaysia 2026, selari dengan 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dan 2030 Agenda.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan