DUNIA

Kesepakatan Sidang Kemuncak Trilateral China, Jepun Dan Korea Selatan Sokong Pertumbuhan Syarikat Pemula ASEAN - Anwar

11/10/2024 01:27 AM

Daripada Rosmalis Anuar

VIENTIANE, 10 Okt (Bernama) -- Malaysia mengalu-alukan kesepakatan dicapai Sidang Kemuncak Trilateral kesembilan antara China, Jepun dan Korea Selatan untuk menyokong pertumbuhan syarikat pemula dan inisiatif digital lain di rantau Asia Tenggara menerusi mekanisme Tabung Koperasi ASEAN Campur Tiga (APT).

Bercakap pada Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga (APT) ke-27 melibatkan ketiga-tiga negara berkenaan, di sini pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini termasuk dalam bidang robotik, kecerdasan buatan dan kenderaan elektrik.

“Saya percaya komitmen ketiga-tiga negara ini akan menyumbang kepada usaha melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan hubungan dagang antara negara-negara APT, selain mewujudkan suasana pelaburan yang mampan,” katanya.

Semasa persidangan itu, Anwar turut menzahirkan ucapan tahniah kepada China, Jepun dan Korea Selatan atas kejayaan Sidang Kemuncak Trilateral berkenaan yang berlangsung di Seoul pada Mei lepas.

Beliau berkata Sidang Kemuncak APT turut membincangkan beberapa isu serantau dan antarabangsa, termasuk krisis kemanusiaan di Palestin dan konflik di Myanmar.

Sidang Kemuncak APT dihadiri oleh pemimpin 10 negara anggota blok itu, Perdana Menteri China Li Qiang, Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba, dan Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol.

Sementara itu,  Pengerusi ASEAN berkata dalam satu kenyataan selepas persidangan itu  para pemimpin bersetuju untuk terus meningkatkan kerjasama melalui mekanisme dan inisiatif sedia ada di bawah rangka kerja APT bagi memastikan wujud daya tahan dan keberkesanan.

Antara inisiatif berkenaan termasuk Multilateralisasi Inisiatif Chiang Mai (CMIM), Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO), Rizab Kecemasan Beras ASEAN Campur Tiga (APTERR), Forum Asia Timur (EAF), dan Rangkaian Pemikir Asia Timur (NEAT), serta lain-lain.

Menurut kenyataan itu, para pemimpin bersetuju untuk terus melaksanakan Pelan Kerja Kerjasama ASEAN Campur Tiga  (2023-2027) sepenuhnya dan dengan berkesan.

“Pada masa sama, mesyuarat menggalakkan negara-negara APT untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang utama seperti transformasi digital, teknologi dan inovasi, tenaga hijau, integrasi ekonomi dan kewangan serta perlindungan alam sekitar, pembangunan infrastruktur, dan keterjaminan makanan serantau,” katanya.

Para pemimpin APT turut menerima pakai Kenyataan Pemimpin APT mengenai Pengukuhan Kesalinghubungan Rantaian Bekalan Serantau.

Sidang Kemuncak APT adalah sebahagian daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung dari 9 hingga 11 Okt di Vientiane.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan