EKONOMI

Sidang Kemuncak SCO Di Tianjin Akan Pertingkat Multilateralisme Dan Hubungan Dengan ASEAN

31/08/2025 06:07 PM

Daripada Voon Miaw Ping

TIANJIN (China), 31 Ogos (Bernama) -- Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) yang bermula hari ini dijangka menyaksikan negara anggota terus mengutamakan perpaduan dalam usaha mempertingkat kerjasama ekonomi dan keselamatan.

Di sebalik ketidaktentuan politik dan ekonomi global, penganalisis berkata sidang kemuncak itu akan mengutamakan pengukuhan penyelarasan pelbagai hala dan memupuk hubungan strategik yang lebih erat dengan pemain utama serantau termasuk ASEAN.

Profesor Madya di Pusat Pengajian Indo-Pasifik, Universiti Jawaharlal Nehru di New Delhi, India Dr Rahul Mishra berkata dasar luar Amerika Syarikat (AS) yang tidak menentu dan tarif dikenakannya telah meningkatkan keperluan ahli SCO untuk menyelaraskan dasar ekonomi dan luar negara mereka dengan lebih mendalam.

"Negara anggota SCO termasuk China, India, dan Rusia, menaruh harapan tinggi untuk Sidang Kemuncak SCO Tianjin. Antara lain, mereka akan membincangkan penyelarasan dan perpaduan dasar luar dan ekonomi lebih luas, selain memberi peluang untuk menyelesaikan respons kolektif terhadap ketidakpastian. mengenai cara menangani pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang sukar untuk diramalkan.

"Mungkin juga ada perbincangan mengenai de-dollarisation dan usaha untuk mengurangkan pergantungan yang berlebihan kepada AS," katanya kepada Bernama dari India.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Hal Ehwal Strategik dan Antarabangsa Universiti Malaya Dr Lam Choong Wah berkata China sebagai pengerusi semasa dan pemacu paling penting SCO, dijangka menerajui organisasi itu dalam memajukan kerjasama dalam projek ekonomi, pembangunan mampan dan tenaga boleh baharu di bawah Inisiatif Belt and Road.

Walaupun kuasa besar seperti China, Rusia dan India dijangka membincangkan penyelarasan ekonomi dan keselamatan, mereka menyatakan bahawa penglibatan peringkat tinggi ASEAN, diwakili oleh Pengerusi ASEAN dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menandakan permulaan lembaran baharu dalam kerjasama antara wilayah.

 

SCO dan ASEAN, Sinergi Baharu Muncul

Acara tahun itu menandakan kali pertama Pengerusi ASEAN yang masih memegang jawatan itu menghadiri Sidang Kemuncak SCO sejak hubungan rasmi antara kedua-dua kumpulan itu ditubuhkan pada 2001, mempamerkan relevansi ASEAN yang semakin meningkat dalam diplomasi global.

Hubungan ASEAN dengan SCO setakat ini dilihat kurang berkembang dengan sesi libat urus sebahagian besarnya kekal di peringkat Sekretariat-ke-Sekretariat sejak memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara mereka pada 2005.

"Kehadiran Anwar dalam kapasitinya sebagai Pengerusi ASEAN sekarang, menandakan peningkatan hubungan antara SCO dan ASEAN," kata Lam.

Beliau berkata melibatkan Pengerusi ASEAN dalam sidang kemuncak akan datang harus menjadi norma untuk memupuk kerjasama lebih kukuh antara kedua-dua pihak.

Secara kolektif, ASEAN dan SCO mewakili kuasa demografi dan ekonomi yang besar, mencakupi lebih 4.1 bilion orang dan lebih daripada US$30 trilion (US$1 = RM4.22) dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal gabungan, diterjemahkan kepada 50 peratus daripada populasi global dan 27 peratus daripada KDNK global.

Selain daripada Sidang Kemuncak SCO, Perdana Menteri juga akan menghadiri acara Perarakan Hari Kemenangan untuk menandakan 80 tahun tamatnya Perang Dunia Kedua di Dataran Tiananmen, Beijing pada 3 September.

Perdana Menteri juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden China Xi Jinping, diikuti dengan majlis makan malam khas yang dihoskan oleh Perdana Menteri Li Qiang di Diaoyutai State Guesthouse.

Sementara itu, Rahul berpendapat Malaysia di bawah Kepengerusian ASEAN 2025 harus mengambil inisiatif untuk mengadakan libat urus pada SCO dan menumpukan kerjasama bersama dan potensi manfaat.

“SCO Plus sememangnya idea yang tepat pada masanya yang boleh membawa sinergi lebih besar antara Malaysia dan negara anggota SCO,” katanya.

Rahul berkata libat urus ASEAN-SCO harus dimulakan dengan mesyuarat Menteri-Menteri Luar untuk memperoleh manfaat yang lebih besar.

“Kerjasama membanteras keganasan, narkotik (dadah) dan perdagangan haram menjadi salah satu bidang keutamaan SCO.

"Kedua-dua organisasi serantau boleh bekerjasama dalam bidang itu. Selain itu, ASEAN dan SCO juga harus mempertimbangkan untuk menyelaraskan bidang keutamaan perdagangan dan pelaburan mereka," katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan telah dijemput untuk menghadiri dan menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak SCO Plus pada 1 September depan, di mana beliau dijangka berkongsi perspektif Malaysia mengenai isu serantau dan antarabangsa berkaitan.

Sesi libat urus itu akan memperkukuh komitmen Malaysia terhadap keamanan, bersikap berkecuali dan kestabilan serantau dalam rangka kerja pelbagai hala yang lebih luas.

 

Perkukuh Libat Urus Strategik Malaysia

Rahul berkata bahawa SCO Plus adalah idea terbaik yang boleh membawa sinergi lebih besar antara Malaysia dan negara anggota SCO.

"Malaysia sudah mempunyai hubungan mesra dan saling menguntungkan dengan China, India, dan Rusia. Mendekati ahli SCO yang lain akan memberi manfaat besar kepada Malaysia dalam usaha jangkauan serantau dan ibat urus ekonomi," katanya.

Lam berkata penyertaan Anwar pada mesyuarat SCO Plus menggariskan peranan Malaysia yang semakin meningkat dalam forum pelbagai hala.

Beliau berkata berbanding dahulu, apabila Malaysia berasa tersisih daripada membuat keputusan yang diterajui oleh negara Barat, kehadirannya pada sidang kemuncak kali ini menunjukkan negara itu kini dilayan sebagai rakan kongsi yang sama pada forum global penting.

Sidang kemuncak dua hari itu yang merupakan acara tahunan adalah yang terbesar sejak penubuhan organisasi itu, mengumpulkan lebih daripada 20 pemimpin dunia dan organisasi antarabangsa untuk melakarkan kerjasama dan pembangunan pelbagai dimensi organisasi berkenaan dalam dekad akan datang.

Sidang kemuncak itu diadakan di Tianjin, salah satu bandar terbesar di China, yang juga merupakan bandar pelabuhan utama dan pangkalan perindustrian terbesar di utara China.

Ditubuhkan di Shanghai pada 2001, SCO hari ini terdiri daripada 10 negara anggota iaitu China, Rusia, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Uzbekistan, Pakistan, India, Iran dan Belarus.

Walaupun China, India dan Rusia adalah rakan dialog ASEAN, Kemboja dan Myanmar kini merupakan satu-satunya negara anggota ASEAN yang telah diberikan status rakan dialog dengan SCO.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan