BERITA TERGEMPAR   The future of ASEAN must include Timor-Leste, whose inclusion will expand the region's economy and contribute to fulfilling our grand vision - PM Anwar | Laos secara rasmi serah kepengerusian ASEAN kepada Malaysia | 
 AM

Tiga Kertas Kerja Berkaitan GISBH Dibentangkan Di Parlimen Minggu Depan

11/10/2024 02:48 PM

KOTA TINGGI, 11 Okt (Bernama) -- Tiga kertas kertas kerja berkaitan GISB Holdings Bhd (GISBH) akan dibentangkan pada hari kedua Persidangan Dewan Rakyat yang bermula Isnin ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata kertas kerja itu masing-masing akan dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

“Mungkin menteri agama akan bentang dari aspek akidah, Menteri Dalam Negeri dari segi pelanggaran undang-undang dan Nancy akan bercakap tentang isu yang berlaku serta bantuan kepada yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Karnival Literasi Undang-Undang di sini, hari ini.

Azalina berkata selepas pembentangan, kertas kerja berkenaan akan dibahaskan oleh Ahli Parlimen.

“Ini sangat penting (kerana) dalam komen media sosial, ada yang (menyatakan) seolah-olah kerajaan bertindak berlebihan (over react) dan saya melihat Ahli Parlimen sebagai wakil rakyat dan yang terbaik untuk membahaskan pandangan mewakili rakyat dalam hal ini. 

“Saya harap semua Ahli Parlimen dapat berikan pendapat, pandangan dan cadangan,” katanya.

Menurut Azalina perbahasan itu juga akan menentukan sama ada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu GISBH perlu diwujudkan atau tidak.

Sementara itu, Azalina memaklumkan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) adalah mencukupi namun pemakaian Seksyen 19 akta berkenaan tidak digunakan sebaik mungkin.

“Pada saya undang-undang jenayah seksual kanak-kanak, berkenaan seksyen dengan keterangan kanak-kanak dalam mahkamah agak mencukupi, isu sekarang itu ialah pemakaiannya.

“Seksyen 19 adalah sebagai pemakaian utama iaitu tidak melaporkan, yang mana ada orang sekeliling tidak melaporkan dan ia ialah satu kesalahan dalam akta jenayah seksual kanak-kanak," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan