AM

Kastam Pulau Pinang Harung Kolam Katak Tumpas Sindiket Arak Tiruan

11/10/2024 03:16 PM

BUTTERWORTH, 11 Okt (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket memproses arak tiruan di sebuah rumah usang di kawasan hutan terpencil dekat Kampung Valdor Sungai Jawi, Seberang Perai Selatan (SPS) dalam serbuan, 20 Sept lepas.

Pengarah JKDM negeri Datuk Roselan Ramli berkata serbuan dijalankan sepasukan pegawai unit operasi kira-kira 11.20 pagi susulan risikan dan maklumat yang diterima berkaitan aktiviti dipercayai didalangi warga Nepal itu.

Beliau berkata hasil pemeriksaan, pihaknya menjumpai 6,621 botol minuman keras bersama sejumlah botol kosong, penutup botol dan pelekat pelbagai jenama minuman keras.

“Turut ditemukan seunit mesin ‘Glass Bottle Capping’ dan segulung setem duti kastam palsu selain sebuah tong air yang telah diubah suai bagi aktiviti mengilang minuman keras tiruan tersebut," katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal di sini, hari ini. 

Roselan berkata kesemua minuman keras itu dianggarkan bernilai kira-kira RM73,600 melibatkan duti berjumlah RM330,000 dan sindiket itu dipercayai telah beroperasi sejak tiga bulan lepas serta menyewa rumah itu daripada pemilik warga tempatan.

Katanya sindiket itu juga didapati meniru label minuman keras sedia ada di pasaran malah turut melekatkan setem duti kastam palsu.

“Kita percaya minuman-minuman keras ini telah pun berada di pasaran tempatan iaitu di kedai-kedai runcit justeru kita menasihatkan kepada pembeli supaya membeli di premis yang dilesenkan sahaja kerana minuman tiruan ini sukar untuk dikenal pasti kerana ia kelihatan sama seperti asal,” katanya.

Menurut Roselan pasukan operasi terpaksa melalui kawasan ternakan katak sebelum sampai ke kediaman terbabit dan bunyi haiwan tersebut seolah-olah memberikan isyarat kepada ahli sindiket mengenai kehadiran pihak berkuasa lalu bertindak melarikan diri.

Beliau berkata usaha mengesan suspek giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 74(1)(f) Akta Eksais 1976 serta Seksyen 6 Akta Memperbaharui Undang-Undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976.

Sementara itu, katanya dalam serbuan berasingan pada 2 Okt lepas, sejumlah 12,432 tin dan 480 botol minuman keras jenis bir dianggarkan berjumlah lebih RM186,000 termasuk duti kastam dirampas, susulan serbuan ke atas sebuah premis di Lorong IKS 1, Simpang Ampat dekat Nibong Tebal.

“Dalam serbuan itu tiga lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia 28 hingga 38 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan minuman keras," kata Roselan sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan