KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Walaupun Malaysia menghasilkan hanya 0.8 peratus daripada pelepasan gas rumah hijau dunia, negara ini sangat terdedah kepada kesan perubahan iklim, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata Malaysia bertekad untuk menambah baik tindakan penyesuaian dan penyelarasan dengan Rangka Kerja untuk Ketahanan Iklim Global Emiriah Arab Bersatu, seperti yang dibincangkan semasa Persidangan Perubahan Iklim ke-28 (COP28) di Dubai tahun lepas.
Menteri itu berkata perkara itu juga seiring dengan persiapan Malaysia untuk mempengerusikan ASEAN tahun hadapan.
“Tindakan yang kita ambil akan membentuk dunia yang akan diwarisi oleh anak cucu kita. Sama seperti belia tidak terlalu muda untuk membuat perubahan, negara kita juga tidak terlalu kecil untuk memberi impak kepada dunia,” katanya.
Nik Nazmi berkata demikian pada perasmian Forum Adaptasi Perubahan Iklim Belia bertajuk Embracing Resilience In Malaysia, yang diadakan sempena Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau serta Produk Eko Malaysia (IGEM).
Forum ini yang memfokuskan kepada golongan muda dan memaparkan perbincanga mengenai bandar mampan, pemuliharaan biodiversiti dan pemulihan ekosistem, pertanian mampan dan keterjaminan makanan, keadilan iklim, kesedaran dan pendidikan.
Nik Nazmi berkata generasi muda merupakan rakan kongsi kritikal dalam menangani isu iklim dan alam sekitar yang unik di Malaysia.
“Penyertaan mereka dalam proses membuat keputusan penting, memastikan suara mereka didengari dan perspektif mereka dimasukkan ke dalam polisi pembangunan dan pelaksanaannya. Seperti golongan belia tidak terlalu muda untuk membuat perubahan, negara kita juga tidak terlalu kecil untuk memberi impak kepada dunia,” katanya.
Pada 7 Jun, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar telah menubuhkan Kluster Belia, satu sub-panel di bawah Panel Perundingan Perubahan Iklim, untuk menggabungkan perspektif belia daripada pelbagai organisasi dan komuniti ke dalam inisiatif perubahan iklim negara.
Sementara itu dalam satu kenyataan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar memaklumkan laporan bersama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu-UNICEF-EcoKnight's Change for Climate (2020) mendapati, 92 peratus golongan muda di Malaysia yang terlibat dalam kajian mengakui perubahan iklim adalah krisis dan menyatakan kesediaan untuk mengambil tindakan perubahan iklim.
Oleh itu, melibatkan belia dalam penyesuaian dan pembinaan daya tahan ialah cara paling berkesan untuk melindungi belia dan komuniti mereka daripada kesan segera dan jangkaan perubahan iklim.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial