AM

MGTC Jalin Beberapa Kerjasama Pada IGEM 2024, Perluas Standard Pengurusan Tenaga

11/10/2024 10:46 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) menjalin beberapa kerjasama strategik yang menumpukan kepada peluasan standard pengurusan tenaga dan projek tenaga solar.

Kerjasama berkenaan dijalin pada hari terakhir Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) edisi ke-15 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

MGTC dalam kenyataan memaklumkan pihaknya memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan TNB Labs Sdn Bhd untuk melaksanakan penilaian pensijilan Standard Emas Pengurusan Tenaga (EMGS) di bawah Skim Pengurusan Tenaga ASEAN (AEMAS) serta program latihan berkaitan pengurusan tenaga, kecekapan dan standard industri.

Menurut kenyataan itu kerjasama berkenaan mengukuhkan komitmen kedua-dua pihak untuk mempromosikan amalan tenaga lestari dan meningkatkan peranan Malaysia dalam usaha pengurusan tenaga di peringkat serantau dan global.

“Sementara itu, menerusi kerjasama yang dijalin, MGTC dan MyCES Sdn Bhd akan menumpukan terhadap pelaksanaan usaha pengurusan tenaga di seluruh Malaysia dengan mengadaptasi EMGS dan teknologi digital bagi pengurusan tenaga serta penyelenggaraan kemudahan sebagai usaha memacu penggunaan tenaga yang lebih pintar, mengurangkan sisa serta meningkatkan kecekapan operasi di pelbagai sektor,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, anak syarikat MGTC, Greentech Catalyst Sdn Bhd bekerjasama dengan Ocean Grapes Technology Co Ltd untuk memajukan pembangunan tenaga solar di Malaysia.

Kenyataan itu memaklumkan kerjasama berkenaan akan memberi fokus terhadap sistem tenaga solar yang inovatif dengan rancangan untuk mewujudkan ladang solar terapung berkapasiti 4.5 gigawatt (GW) yang mampu menghasilkan tenaga bersih kepada pihak ketiga, sekali gus menyumbang kepada masa depan tenaga boleh diperbaharui Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MGTC Shamsul Bahar Mohd Noor berkata pihaknya teruja dengan kerjasama itu yang akan memacu negara ke arah kelestarian.

“Kami akan memastikan semua inisiatif yang dijalin mampu memacu pertumbuhan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar selaras dengan tema tahun ini Race Towards Net Zero: Regional Leadership for Climate Urgency,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan