AM

Kampung Angkat@Batu Laut : Bernama Atur Program Intervensi Pendidikan, Literasi Media Sosial

12/10/2024 04:01 PM

BANTING, 12 Okt (Bernama) -- Intervensi pendidikan dan literasi media sosial kepada komuniti Kampung Batu Laut, Tanjung Sepat dekat sini antara perkara yang direncanakan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di bawah Program Santuni MADANI: Satu Pemimpin Satu Kampung menerusi Kampung Angkat Bernama@Batu Laut.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin berkata terdapat keperluan untuk mengutamakan aspek pendidikan di kampung berkenaan dan untuk itu pihaknya telah merangka pelbagai program sehingga pertengahan tahun hadapan.

“Kita akan tumpukan kepada aspek pendidikan, iaitu kita akan cuba meningkatkan tahap pembacaan anak-anak di kampung ini, tumpuan kepada pembelajaran bahasa Inggeris dan mendedahkan mereka kepada kerjaya kewartawanan dan literasi media.

“Kita juga akan bawa (agensi) Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk memberi penerangan lanjut tentang manfaat dan apa yang boleh dikecapi oleh mereka yang menceburi bidang itu,” katanya selepas perasmian Program Santuni MADANI: Satu Pemimpin Satu Kampung Kementerian Komunikasi - Kampung Angkat Bernama@Batu Laut, di sini hari ini.

Program yang dirasmikan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Sepang Datuk Aiman Athirah Sabu, turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Ketua Kampung Batu Laut Subandi Sangandi.

Nur-ul Afida berkata literasi media sosial mengenai aspek penipuan dan pelaburan tidak wujud juga akan diberikan kepada penduduk, memandangkan terdapat kes warga emas di kampung berkenaan yang menjadi mangsa penipuan dalam talian.

“….dan mungkin kita akan minta bantuan daripada MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk beri penerangan kepada warga emas di kampung ini,” katanya.

Mengenai kejayaan Bernama yang menjadi perintis sebagai agensi di bawah Kementerian Komunikasi untuk melaksanakan program sedemikian, beliau berkata ia adalah hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk penduduk Kampung Batu Laut yang membolehkan hasrat itu tercapai.

Nur-ul Afida turut menyatakan kesediaan Bernama dalam membantu jabatan lain di bawah Kementerian Komunikasi untuk menguar-uarkan program kampung angkat mereka, sekiranya dilaksanakan kelak.

Beliau dalam pada itu turut menzahirkan penghargaan kepada petugas Bernama yang bertungkus-lumus menjayakan program itu dengan turun padang membawa perkhidmatan Bernama, demi masyarakat Kampung Batu Laut.

Program tersebut turut menyaksikan penyerahan buku bagi inisiatif Little Free Library (LFL) iaitu aktiviti yang dijalankan semasa Program Kempen 3B (Baca Bersama Bernama).

Lebih 200 penduduk setempat turut serta memeriahkan program berkenaan dengan penglibatan menerusi aktiviti senamrobik, kuiz, sukaneka kanak-kanak dan pertandingan membaca berita radio dan televisyen.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan