AM

400,000 Dijangka Kunjungi Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah - Armizan

12/10/2024 07:31 PM

KOTA KINABALU, 12 Okt (Bernama) -- Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah yang akan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat (18 Okt), dijangka akan dikunjungi 400,000 orang, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata program bertemakan ‘Meningkatkan Kesejahteraan Pengguna’ akan diadakan di perkarangan Kompleks Sukan Likas di sini dan dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2.30 petang, 19 Okt.

Armizan berkata Zon Sabah merupakan zon keenam serta pelengkap Program MADANI Rakyat tahun ini selepas Zon Tengah di Selangor, Zon Utara di Pulau Pinang, Zon Timur di Pahang, Zon Selatan di Johor, dan Zon Sarawak.

“Orang ramai di Sabah kita jemput datang beramai-ramai. Dua komponen perkhidmatan ditawarkan menerusi program ini bagi menggambarkan keberhasilan Kerajaan MADANI dalam memenuhi keperluan kebajikan rakyat iaitu Perkhidmatan Touchpoint Rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat.

“Melalui pendekatan ini pelbagai perkhidmatan secara terus dan inisiatif dilancarkan kerajaan, dapat disampaikan kepada rakyat menerusi perkhidmatan yang ditawarkan kementerian, jabatan, juga agensi Persekutuan dan negeri,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan program itu di sini hari ini.

Armizan berkata bagi Zon Sabah, pelaksanaan program melibatkan kolaborasi strategik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selaku kementerian peneraju serta kerajaan Sabah dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Beliau berkata sebanyak lapan program tumpuan disediakan iaitu Kesejahteraan Rakyat dilaksana Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) JPM, Agenda Perpaduan (Kementerian Perpaduan Negara), TVET dan Karnival Kerjaya (Kementerian Sumber Manusia), Perkhidmatan Kerajaan Negeri (kerajaan Sabah).

Selain itu Kos Sara Hidup (KPDN), Pertanian dan Keterjaminan Makanan (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan), Perkhidmatan Kesihatan (Kementerian Kesihatan), STEM dan AI dilaksana Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Kita sedang menyediakan jumlah reruai yang sesuai kerana program ini mendapat sambutan yang amat menggalakan daripada pempaper, begitu juga peniaga tempatan seperti trak makanan dan sebagainya. Kita tentukan jumlah kemudian,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan