JENAYAH & MAHKAMAH

Nahas UiTM Dungun: Polis Tunggu Laporan Kesihatan Suspek

12/10/2024 07:41 PM

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Polis sedang mendapatkan laporan kesihatan pemandu wanita yang dipercayai sakit mental dan melanggar dua motosikal hingga mengakibatkan kematian tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Dungun dalam kejadian Rabu lepas, bagi melengkapkan siasatan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan berkata siasatan terhadap suspek tetap dilakukan mengikut prosedur biasa meskipun terdapat dakwaan wanita itu mempunyai masalah mental.

"Kes ini tetap disiasat seperti biasa termasuk direman, tiada pengecualian. Polis akan mendapatkan laporan kesihatan wanita terbabit sebelum siasatan dilengkapkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan sama ada suspek perlu mendapatkan rawatan psikiatri atau tidak bergantung kepada mahkamah selepas suspek tersebut dituduh nanti.

Dalam kejadian pada 7.35 malam Rabu lepas, tiga pelajar UiTM Kampus Dungun yang menunggang dan membonceng motosikal maut manakala seorang lagi rakan mereka cedera selepas dirempuh sebuah kereta berdekatan kampus berkenaan. 

Pemandu kereta tersebut iaitu wanita berusia 49 tahun dan berasal dari Kampung Sura Tengah dipercayai kurang siuman, direman empat hari bermula Khamis lepas.

Tiga mangsa yang meninggal dunia ialah Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dari Muar, Johor; Ku Adib Ku Azmi, 20, dari Sungai Buloh, Selangor; dan Khairil Anwar Jamaludin, 20, dari Ampang, Selangor, manakala yang cedera ialah Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, dari Keramat, Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan