AM

UDA Sasar RM92.5 Juta Jualan Hartanah, Usahawan Menerusi Karnival Di Johor 

12/10/2024 10:06 PM

JOHOR BAHRU, 12 Okt (Bernama) -- UDA Holdings Bhd (UDA) menyasarkan RM92.5 juta jualan hartanah dan usahawan menerusi penganjuran Karnival UDA 2024@Johor yang diadakan di Angsana Johor Bahru Mall di sini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Datuk Mohd Salem Kailany berkata karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam itu disertai 160 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan sasaran kira-kira 180,000 pengunjung.

“Johor merupakan lokasi ketiga (penganjuran karnival) tahun ini dan antara lokasi tumpuan kerana sambutan dan sokongan warga selatan tanah air, khususnya di wilayah pembangunan UDA yang amat memberangsangkan.

“Sehubungan itu, UDA menyasarkan jumlah jualan sebanyak RM92.5 juta, merangkumi jualan hartanah bernilai RM90 juta serta jualan usahawan berjumlah RM2.5 juta,” katanya pada Majlis Perasmian Karnival UDA 2024@Johor di Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Pengerusi UDA Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Mohd Salem berkata karnival yang menampilkan tujuh zon termasuk Pavilion UDA, Ruang Rasa, Aura Wanita, Maskulin, Fiesta Bakat, Pa & Ma dan jualan menarik untuk pengunjung itu diadakan menerusi kolaborasi dengan pelbagai agensi seperti Perbadanan Usahawan Johor, Pertubuhan Peladang Negeri Johor, Kraftangan Malaysia Cawangan Johor serta Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Karnival itu juga mengikutnya dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik seperti Fiesta Bakat oleh Majlis Sukan Negara (MSN), ‘Jom Mewarna Bintang Kecil bersama Didi & Friends’, sukan rakyat kanak-kanak tadika, pertunjukan api, Jualan MADANI Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta persembahan artis seperti Haziq Rosebi dan HyperAct.

“Selain itu, UDA turut berkesempatan menyantuni komuniti memerlukan dengan menyalurkan zakat wakalah kepada 10 usahawan asnaf berjumlah RM30,000 dan RM50,000 zakat wakalah melalui Sumbangan Akaun Simpan SSPN Prime Sempena Program UDA Cares yang memanfaatkan seramai 500 pelajar asnaf di  Johor,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata pengunjung turut ditawarkan rumah teres dua tingkat (Areca Terrace), rumah berkembar dan banglo dua tingkat (UDA Heights), kedai pejabat dua dan tiga tingkat (21BizHub) di Bandar UDA Utama, rumah teres satu tingkat di Taman Sedili di Kota Tinggi serta pelbagai produk-produk hartanah di negeri lain.

Sementara itu, Mohd Annuar berkata karnival berkenaan turut disertai Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Foon Yew 2 dan Sekolah Kebangsaan Taman Suria yang masing-masing menampilkan program inovatif.

Beliau berkata usaha sekolah seperti SJKC Foon Yew 2 yang menghasilkan baja kompos daripada lebihan makanan yang antaranya diperolehi dari kantin sekolah itu harus diberikan pujian.

“Baja kompos dihasilkan sekolah ini boleh dijual dan menjadi sumber pendapatan kepada sekolah, lebih daripada itu, ia sekali gus mendidik pelajar bahawa tiada benda yang tidak berharga sekiranya kita mampu berinovasi,” katanya.

Justeru itu, beliau berkata pihaknya akan mengangkat idea inovasi sekolah berkenaan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) serta akan memberi ruang kepada sekolah lain untuk turut sama menyertai karnival UDA pada masa akan datang bagi mempamerkan kreativiti, sekali gus menggalakkan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan