AM

Lumat, Jailan Warisi Kemahiran Seni Anyaman Sejak Usia Belasan Tahun

13/10/2024 04:37 PM

Oleh Noorazlina Jindeh

KOTA KINABALU, 13 Okt (Bernama) -- Lumat dan Jailan yang mahir menganyam dan menghasilkan kraf tangan seawal usia belasan tahun kini menjadikan ia sebagai pekerjaan tetap sekali gus menjadi sumber pendapatan keluarga. 

Lumat Lebong, 64,  berasal dari Serian, Sarawak berkata dia didedahkan dengan seni anyaman sejak berusia 16 tahun apabila sering dibawa oleh ibunya masuk ke dalam hutan untuk mengambil pokok bemban, buluh dan rotan.

Bermula dari situ, dia mempelajari cara-cara mengambil pokok bemban yang biasanya tumbuh liar di hutan, tepi sungai dan ada juga yang ditanam sebelum ditebang serta diproses untuk diambil kulitnya.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata kulit pokok bemban yang diambil daripada batangnya akan dijemur sekurang-kurangnya tiga hari dan direndam dalam air supaya tidak bergulung-gulung, kemudian di jemur lagi sehingga boleh dianyam.

"Selepas semua proses itu, ada satu lagi lapisan daripada kulit bemban itu perlu dibuka supaya kulit bemban yang dianyam tidak keras. Semasa menganyam kalau kulit bemban itu bergulung-gulung, sembur saja dengan air," katanya kepada Bernama.

Lumat adalah antara 68 usahawan kraf dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung yang menyertai Festival Kraf Borneo 2024 yang bermula pada 26 September hingga hari ini bertempat di Pusat Beli Belah 1 Borneo.

Beliau berkata antara anyaman tikar daripada bemban yang dihasilkannya bercorak bunga tisik langit dan harganya bergantung kepada corak serta saiz tikar berkenaan yang biasanya dijual bermula pada harga RM500 hingga RM1,000

"Corak anyaman lain ialah sangkar perahu dijual pada harga RM300 kerana ia lebih mudah untuk dianyam, nyiru daripada buluh dijual bermula pada harga RM18," katanya yang telah menyertai pameran kraf tangan itu sejak 2002.

Bagi Jailan Preeh, 49, dari Kota Belud pula dia mempelajari kemahiran menganyam daripada ibunya sejak berusia 12 tahun sebelum mengambil kursus menganyam di pusat kraf tangan Sabah.

Jailan yang menganyam tudung saji yang dihasilkan daripada daun serdang berkata proses untuk menjadikan daun itu mudah dianyam mengambil masa hingga tiga jam bagi merebus daun berkenaan sebelum dijemur sehingga kering.

Kemudian daun itu akan dimasukkan ke dalam bekas berisi air untuk diwarnakan dengan warna kuning dan merah jambu sebelum dicampur dengan warna lain bagi menghasilkan warna hijau, ungu dan merah.

"Warna yang kami guna memang warna khas ditempah dari pusat kraftangan dan kami menjual di pameran, pasar minggu, tempahan atau di laman sosial," katanya yang menjual tudung saji antara RM15 hingga RM80.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan