SUKAN

IGMR2024 Dijangka Tarik 1,000 Penyertaan

13/10/2024 06:30 PM

KUALA TERENGGANU, 13 Okt (Bernama) -- Sebanyak 1,000 peserta dijangka menyertai kejohanan berbasikal ‘International Golden Monsoon Ride 2024’ (IGMR2024) yang akan berlangsung di sini pada 14 Dis depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu Hishamuddin Abdul Karim berkata kejohanan yang memasuki edisi keenam merupakan sebahagian daripada ‘Terengganu Inc Challenge Series’ yang bertujuan memperkukuhkan industri sukan berbasikal bertaraf antarabangsa di negeri ini.

Beliau berkata sebanyak 12 kategori dipertandingkan pada kejohanan itu yang akan diadakan di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM37,000.

"Kategori yang dipertandingkan termasuk terbuka lelaki, terbuka wanita, junior lelaki, perlumbaan basikal bukit (MTB) dan ‘jamboree’ 30 kilometer (km), ‘super mama’, ‘e-bike’ dan ‘heavyweight’.

"Selain itu, kita turut menganjurkan acara kayuhan sejauh 39 km bagi peserta yang minat berbasikal tetapi tidak mahu bertanding," katanya selepas prapelancaran IGMR2024 di PSKT di sini hari ini.

Hishamuddin berkata penganjur turut menyediakan pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuk sebuah kereta Perodua Myvi, basikal serta barangan elektrik dan elektronik seperti iPhone 15.

"Selain mempopularkan lagi sukan berbasikal, IGMR2024 juga bermatlamat memperkenalkan Terengganu sebagai destinasi pelancongan pilihan terbaik," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan