KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sedang menyiapkan laporan lengkap insiden seorang penumpang tren elektrik (ETS) yang sengaja menarik brek kecemasan ketika tren sedang bergerak, untuk diserahkan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi tindakan lanjut.
Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin meminta semua pengguna tren KTMB tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu perkhidmatan tren semasa ia beroperasi.
“Pengguna tren yang didapati melanggar peraturan akan dikenakan tindakan tegas di bawah Seksyen 122 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 (Akta 715), iaitu boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menegaskan tindakan mana-mana individu menggunakan alat isyarat kecemasan secara tidak wajar dalam mana-mana koc atau tren kereta api yang disediakan untuk memberhentikan tren dalam keadaan kecemasan, adalah satu kesalahan di bawah akta tersebut.
Insiden itu yang berlaku pada 11.25 malam semalam dan dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV), menyebabkan tren mengalami kelewatan selama 120 minit. Tren berkenaan dalam perjalanan dari KL Sentral ke Ipoh, berlepas pada 9.40 malam dan dijadualkan tiba di Ipoh pada 12.16 tengah malam.
Bagaimanapun, susulan insiden itu tren hanya tiba di Ipoh pada 2 pagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial