SUKAN > BERITA

ASTAF Sahkan Penggunaan Sistem Ranking Pada Piala Asia 2025

17/11/2024 07:15 PM

KAJANG, 17 Nov (Bernama) -- Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) mengesahkan penggunaan sistem ranking pada Kejohanan Sepaktakraw Piala Asia 2025 yang dijadualkan bermula 9 hingga 18 Mei di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Presiden ASTAF Datuk Abdul Halim Kader berkata edisi sulung kejohanan sepak takraw lelaki Asia berkenaan juga bakal menjadi rujukan untuk pelaksanaan sistem ranking pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun.

“Ketika perbincangan dengan Jawatankuasa Tertinggi Aichi-Nagoya baru-baru ini, mereka ada meminta kriteria sistem ranking. ASTAF akan membincangkan pelaksanaan untuk Sukan Asia supaya hanya negara yang mempunyai tahap tertentu boleh beraksi, kita tidak mahu negara yang baru mula berlatih terus masuk kerana ia boleh menurunkan standard sepak takraw.

“Kami telah menerima kriteria sistem ranking daripada jawatankuasa yang diketuai oleh Datuk Mohd Sumali Reduan. Piala Asia ini juga bakal menjadi medan ujian untuk Sukan SEA 2025 di Thailand yang dijadualkan pada Disember tahun depan,” katanya pada satu sidang media di sini hari ini. 

Abdul Halim yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) berkata Piala Asia adalah kejohanan pertama yang menetapkan pengesahan penyertaan dan senarai nama beberapa bulan sebelum pertandingan.

Sebelum ini, ISTAF memberikan Malaysia penghormatan menjadi negara pertama untuk memperkenalkan sistem ranking dunia sukan itu ketika Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang berlangsung di venue sama dari 19 hingga 26 Mei lepas.

Sementara itu, Mohd Sumali yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) berkata pihaknya telah menghantar jemputan rasmi untuk menyertai Piala Asia kepada 16 negara, dengan kebanyakannya terdiri daripada pasukan yang beraksi dalam Divisyen Premier Piala Dunia.

Beliau berkata PSM juga telah menjemput pasukan Divisyen 1 seperti Iran dan Taiwan yang mempamerkan prestasi baik pada Piala Dunia.

“Sekiranya ada negara yang tidak dapat menyertai atas sebab-sebab tertentu, kita akan jemput negara lain yang mempunyai standard tertentu kerana kita sasarkan penyertaan 16 pasukan. Empat acara akan dipertandingkan iaitu regu, regu berpasukan, beregu dan kuadran. 

“Acara regu adalah wajib, manakala setiap pasukan hanya boleh menyertai sama ada acara beregu atau kuadran. Kita anjurkan acara kuadran kerana dipertandingkan pada Sukan SEA dan Piala Raja Thai, manakala beregu tidak dipertandingkan,” katanya.

Beliau berkata acara kuadran Piala Asia akan menjadi medan persediaan dan pengujian terbaik buat semua pasukan, termasuk Malaysia menjelang dua pertandingan di Thailand itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan