AM

Fahmi Ucap Takziah Kepada Keluarga Editor Visual Astro Awani

14/10/2024 07:03 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Editor Video Astro AWANI Ahmad Hafiz Azhar Nordin yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pagi tadi. 

Menerusi hantaran di Facebook, beliau turut mendoakan agar keluarga Allahyarham tabah dan sabar dalam berdepan dengan kehilangan ini. 

"Innalillahi wa inna ilaihi raji'un. Takziah kepada seluruh anggota keluarga dan sahabat handai Allahyarham Ahmad Hafiz Azhar Nordin yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pagi tadi. 

"Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah," katanya. 

Dalam kejadian 7.46 pagi tadi Ahmad Hafiz, 36, maut selepas motosikal yang ditunggangnya dalam perjalanan ke tempat kerja terbabas di KM 8.5 Lebuhraya Maju Ekspres (MEX) di sini akibat jalan licin semasa hujan lebat.

Allahyarham meninggalkan isteri Nur Farrah Hanna Ibrahim, 35 yang merupakan petugas Bahagian Pentadbiran dan Fasiliti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), dan dua anak lelaki masing-masing berusia lima tahun dan sembilan bulan.

Sementara itu di MELAKA, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan merakamkan rasa dukacita, dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, yang juga merupakan Pegawai Pasukan Sukarelawan Maritim Malaysia (PSMM) berpangkat Leftenan Muda (PSMM).

Pengarahnya Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata Allahyarham aktif bersama dengan PSMM sejak 2018 yang baharu ditubuhkan dengan keanggotaan permulaan seramai 15 orang pegawai.

"Allahyarham merupakan seorang pegawai yang aktif dan mempunyai semangat patriotik yang tinggi. Meskipun bertugas sebagai seorang pengamal media namun Allahyarham tidak pernah terkecuali dalam mengambil bahagian menerusi siri latihan dan aktiviti yang dilaksanakan PSMM selama ini," katanya dalam kenyataan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan