EKONOMI

PMKS Terus Alami Keuntungan Terhad - SAMENTA

14/10/2024 09:40 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Kebanyakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini terus menghadapi keuntungan terhad disebabkan oleh peralihan digital, kekurangan tenaga kerja dan peningkatan kos pematuhan.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) Datuk William Ng berkata hal ini berikutan penemuan daripada pelbagai tinjauan dan penglibatannya dengan PMKS sejak awal tahun ini.

“Kami bimbang kerajaan mungkin beranggapan PMKS semestinya menunjukan prestasi yang baik berikutan kenaikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pengukuhan ringgit. Hakikatnya, banyak PMKS terkesan teruk oleh peningkatan kos perniagaan menyebabkan keuntungan terhad dan keberuntungan yang rendah.

“Bertentangan dengan kepercayaan itu, banyak PMKS terjejas teruk oleh kos tambahan untuk menjalankan perniagaan dan sedang mempertimbangkan peningkatan harga jualan yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, cabaran keuntungan terhad diburukkan lagi dengan peningkatan kos pematuhan yang disebabkan antaranya oleh mandat e-invois yang akan datang selain pematuhan kepada piawaian pelaporan alam sekitar, sosial serta tadbir urus (ESG).

“Pada masa yang sama, pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan menaikkan cukai taksiran dan caj perkhidmatan mereka kepada perniagaan antara 15 hingga 250 peratus. Banyak PMKS semakin terdesak, tetapi tidak tahu di mana dan bagaimana untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

 Ng berharap kerajaan mengambil berat berhubung isu ini dan akan mempertimbangkan untuk mengelak daripada memperkenalkan sebarang cukai baharu atau tambahan dalam Belanjawan 2025 yang boleh memberi kesan kepada daya saing PMKS.

“Sebaliknya, tumpuan harus diberikan untuk membantu PMKS kita untuk menambah baik operasi, mengurus kos mereka dan memanfaatkan pelbagai peluang daripada peralihan tenaga, perubahan iklim, populasi yang menua, kecerdasan buatan serta perubahan susunan ekonomi global,” katanya.

Dalam kenyataan itu, persatuan itu juga mengulangi komitmennya untuk menyokong Ekonomi MADANI dan berharap kebimbangan PKS ini dapat ditangani dalam Belanjawan 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan