AM

Penganut Hindu Di Ibu Kota Mula Buat Persiapan Menjelang Deepavali

14/10/2024 10:06 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Penganut Hindu di sekitar ibu kota giat melakukan persiapan bagi menyambut Deepavali pada hujung Oktober meskipun perlu meredah cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini.

 'Deepavali Vantachi' itulah kata-kata yang diluahkan T. Parthiban, 37, bermaksud musim perayaan Deepavali sudah tiba ketika ditemui Bernama tatkala sibuk membeli-belah di Little India Brickfields di sini hari ini.

Pekerja teknologi maklumat (IT) itu berkata Deepavali tahun ini lebih istimewa kerana ini kali pertama meraikan bersama isteri tercinta. 

"Seronok dapat membeli-belah bersama isteri terutama pada hari bekerja kerana tidak terlalu sesak dan nak parkir kenderaan pun senang,” katanya.

Bagi suri rumah K.Usha, 50, yang memilih kawasan di Sentul untuk membeli-belah persiapan Deepavali berkata dia membuat persiapan awal membeli barangan perhiasan rumah bersama anak-anaknya.

“Persiapan awal lebih selesa dan santai selain dapat elak tekanan di saat-saat akhir walaupun peniaga selalu beri diskaun pada minggu terakhir sebelum Deepavali,” katanya.

Penuntut universiti R. Shoba, 33, pula memilih untuk mendandan rambut dan merias kuku di sebuah pusat beli-belah di Jalan Ipoh di sini untuk mengelak slot tempahan penuh apabila hari perayaan semakin hampir.

"Mudah buat tempahan sekarang dan pendandan juga ada banyak masa dan tidak perlu tergesa-gesa jadi hasilnya pasti tidak akan mengecewakan,” katanya.

Perayaan Deepavali yang juga dikenali sebagai Pesta Cahaya itu turut membawa rezeki kepada tukang jahit yang tidak menang tangan menerima tempahan.

Bagi tukang jahit K. Valiamma, 49, yang mengusahakan perniagaan di Kompleks Mutiara di sini berkata tahun ini menerima lebih banyak tempahan berbanding tahun lepas.

Peniaga kedai pakaian di Brickfields Tamilarasan, 30, turut menyifatkan jualan menjelang Deepavali tahun ini agak memberangsangkan berbanding tahun lepas biarpun cuaca ketika ini tidak menentu.

“Jumlah pengunjung meningkat pada hujung minggu manakala mereka yang enggan bersesak memilih membeli-belah pada sebelah malam selepas waktu bekerja,” katanya 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan