EKONOMI

Beberapa Negara ASEAN Turut Minat Sertai BRICS - PM Anwar

15/10/2024 03:38 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Beberapa negara ASEAN turut menunjukkan minat menyertai BRICS selepas Malaysia menyatakan hasrat untuk menjadi sebahagian daripada blok ekonomi itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata tumpuan ASEAN kekal kepada pemantapan ekonomi serantau bersama-sama rakan dialog untuk memastikan hubungan antara negara tidak terjejas.

“Asas ekonomi menjadi ukuran atau kriteria utama dan kita tidak mahu ASEAN menjadi gelanggang percaturan atau pertembungan kuasa-kuasa besar.

“Dahulunya, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Soviet dan sekarang AS dengan China. Hubungan kita dengan China akan terus ditingkatkan dan apabila kita mendekati BRICS, beberapa negara ASEAN turut mengambil keputusan yang sama,” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) yang ingin mengetahui pendekatan yang akan digunakan pada masa depan untuk memastikan kestabilan ASEAN dapat dipelihara di saat menangani masalah geopolitik seperti hubungan China dan AS serta isu yang berlarutan dalam ASEAN.

Mengenai hasil lawatan ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 baru-baru ini,  Anwar berkata selain menekankan kepentingan memperkukuh perjanjian perdagangan bebas ASEAN dengan rakan-rakan dialog termasuk Kesatuan Eropah, Malaysia turut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan jalinan digital dan grid tenaga antara negara anggota pada sidang kemuncak itu.

Beliau percaya usaha ini dapat memberi lonjakan kepada ekonomi serantau terutamanya dengan penyertaan Timor Leste yang sedang diusahakan.

“ASEAN menjadi 11 (negara anggota), kekuatan ekonomi pastinya akan meningkat,” kata beliau, sambil menambah perdagangan antara rantau kini mencecah US$3.5 bilion disokong oleh pertumbuhan ekonomi ASEAN bernilai US$3.8 trilion pada 2023.

Oleh itu, kata beliau semasa Kepengerusian ASEAN 2025, selain fokus kepada hubungan diplomatik dan perdagangan antarabangsa, kerajaan akan turut mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik.

Anwar menjawab soalan asal Amirudin yang ingin mengetahui hasil lawatan ke sidang kemuncak itu serta persiapan Malaysia dan hala tuju sebagai Pengerusi ASEAN 2025 terutamanya dalam konteks ekonomi serta cabaran geopolitik semasa.

Pada 2025, negara juga akan menganjurkan Persidangan ASEANGCC+China yang meliputi kesemua negara ASEAN, enam negara Teluk termasuk Bahrain, Oman, Kuwait, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu serta China.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan